Monday, November 15, 2010

AGENDA ANAK MUDA MALAYSIA: SUATU PERKONGSIAN MASA DEPAN

1. Setelah menyatakan pendirian untuk bertanding bagi jawatan NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Malaysia, ramai teman-teman yang menghubungi dan memberikan respond yang positif terhadap keputusan ini. Saya amat menghargai pandangan, doa dan dukungan sdra/sdri.

2. Ada teman-teman yang bertanya soal halatuju dan gagasan idea yang bakal dibawa bersama AMK sekiranya terpilih untuk taklifan dan tanggungjawab ini. Menyedari hakikat bahawa gagasan idea dan perlaksanaan sebenarnya penting untuk diberikan penekanan oleh calon-calon Majlis Pimpinan AMK, maka ini perlu menjadi perkongsian umum dalam keluarga besar AMK khususnya sebagai tanda persediaan AMK menggalas harapan rakyat Malaysia.

3. Gagasan idea dan usaha mengimplimentasikan idealisme dalam kerangka gerakan AMK adalah usaha komplimentari yang perlu wujud antara calon-calon, baik yang akan menang ataupun tewas. Atas dasar itu, perkongsian pintar membawa suara sebenar anak muda adalah langkah bijak dalam mendepani gerakan anak muda yang berjaya menambat hati majoriti kepelbagaian segmen anak muda.

4. Segmen anak muda yang berbeza ini memerlukan pendekatan sentuhan yang sofistikated dan terkini namun bersifat anjal, mudah, ringkas dan fleksibal dalam perlaksanaannya. Kepelbagaian rencam anak muda Malaysia perlu diraikan dan diuruskan dengan cekap.

5. Untuk itu kita melihat adalah perlu demi masa depan generasi anak muda Malaysia, maka AMK perlu:

a. Membawa seluruh generasi muda secara holistik ke arah keterlibatan dalam proses pembentukan negara, kewibawaan kerajaan, ‘Good Governant’ yang berintegriti dan berkebajikan.
b. Membina generasi muda yang peka terhadap isu keadilan sosial, integriti kehakiman dengan juga melihat persampelan ‘Keadilan Untuk Anwar’ sebagai aspek inspirasi perjuangan kebenaran dan keadilan yang mempunyai sentuhannya yang tersendiri. Isu transparensi badan-badan penting dan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institusi Kehakiman perlu menjadi fokus bicara integriti dan anti rasuah generasi muda.
c. Isu-isu kemiskinan rakyat khususnya pengangguran anak muda perlu diberikan perhatian oleh gerakan AMK dan anak muda umumnya. Isu gaji minimum dan peluang pekerjaan anak muda perlu menjadi desakan AMK khususnya dinegeri-negeri Pakatan Rakyat untuk diterjemahkan dalam bentuk polisi-polisi kerajaan negeri. Isu ruang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sarjana muda/sarjana/phd dengan mendapat biasiswa perlu diketengahkan AMK untuk penambahbaikan oleh kerajaan pusat/negeri. Ini termasuk bebanan hutang tinggi oleh graduan akibat lambakan hutang PTPTN. Kekangan mahasiswa berpolitik melalui AUKU juga perlu ditegaskan pendirian AMK dengan cadangan Draf Undang-Undang yang lebih baik.
d. Aspek kualiti perkhidmatan kesihatan untuk anak muda perlu diberikan fokus khususnya di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
e. Suara Demokrasi anak muda dengan gagasan Parlimen Anak Muda Malaysia perlu diketengahkan secara berperingkat dan hikmah. Pandangan dan Agenda Anak Muda seluruh Malaysia termasuk Agenda Anak Muda Borneo perlu menjadi keprihatinan AMK untuk diteliti dan diambil tindakan. Proses Pilihanraya yang bersih dan memilih pimpinan kerajaan dan parti yang berwibawa adalah perlu menjadi antara agenda demokrasi AMK yang digerakkan secara sinergi.
f. Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu bertindak dalam nadi gerakan massa rakyat menerusi semangat bertindak sebagai ‘Majlis Hisbah’ atau ‘Ombudsman Council’ yang mampu menjadi institusi ‘check & balance’ khususnya dalam persoalan ‘real issue’ seperti aspek pembangunan pendidikan, sosio-budaya-politik dan ekonomi.
g. Angkatan Muda Keadilan perlu menjadi ‘trend-setter’ dalam penentuan sikap anak muda Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, sosio-budaya, ekonomi dan politik.
h. AMK perlu dilihat muda remaja, sporty, fleksibal, profesional, progresif dan pragmatik dalam menjadi kiblat imej anak muda Malaysia. Latihan Anggota/Kepimpinan dan Pembinaan Kepakaran/Tenaga Pakar AMK perlu dirangka dengan kemas dalam keadaan mengambilkira nilai pemikiran, kebolehan, komitmen, keberanian dan emosi anggota AMK Malaysia khususnya dan umumnya anak muda Malaysia.
i. AMK perlu mengukuhkan rangkaian antarabangsa khususnya rangkaian anak muda serantau di peringkat Nusantara.

Secara tuntasnya, ini adalah bentuk perkongsian yang mahu saya bicarakan serta bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana Ketua AMK & pimpinan organisasi AMK yang bakal memenangi pemilihan 2010 pada kali ini.

Sekian, Salam Hormat & Salam Perjuangan buat semua.

Mohd Nazree Mohd Yunus,
Calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia 2010

ANWAR TENANG, UMNO CEMAS, RAKYAT BIJAK

Keadilan semakin mendapat tempat dalam perhatian media perdana. Bicara massa perdana Utusan, Berita Harian, TV1 dan TV3 terpaksa untuk mengulang tulis dan tayang konflik pemilihan KEADILAN. Anwar terus diserang melalui isu Pemilihan tidak telus. Ini tanda Anwar Ibrahim dan KEADILAN masih relevan dalam landskap politik tanah air. Semuanya termasuk media perdana, ulama’,pimpinan UMNO prihatin terhadap perkembangan memberangsangkan parti KEADILAN ini. Pimpinan UMNO/BN sehingga tidak tidur malam hanya untuk memikirkan tentang KEADILAN berbanding untuk melawan rasuah membarah dalam parti dan kerajaan teraju mereka.

Akhirnya media perdana akur, daripada mereka terus menjadi jurucakap UMNO/BN dengan slogan 1Malaysia yang tidak diendah rakyat, masalah kepimpinan UMNO/BN yang lebih lemah dan rasuah yang membarah, lebih baik mereka memaparkan isu, perjalanan, masa depan serta kepimpinan KEADILAN bagi menaikkan rating popular akhbar dan siaran mereka. Isu Pakatan Rakyat baik kepimpinan, pemilihan dan gerak kerja menjadi perhatian umum.
Ini suatu perkembangan yang menarik dan baik untuk KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT. Media Perdana terpaksa cari makan dengan isu KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT. Lihat sahaja isu banjir di Kedah, serangan memburukkan imej MB Kedah begitu teruk dilakukan dengan tohmahan bahawa MB tidak turun kawasan banjir. Ini tanda UMNO/BN cemas. Daripada Kedah hingga ke Selangor diserangan habis-habisan PR. Namun rakyat bijak menilai. Jika tatkala KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT jadi pembangkang, media mendapat nikmat ‘cari makan’ dengan isu pihak ini, maka lebih untung jika KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT menjadi kerajaan, sudah pasti banyak isu kebajikan, masa depan negara yang lebih baik disajikan KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT untuk memberikan ruang berita lebih positif untuk massa perdana.

Perspektif bicara kita mudah, jika Anwar Ibrahim atau KEADILAN tidak memberi cabaran kepada UMNO/BN, sudah pasti tidak perlu untuk dihujankan fokus serangan imej terhadap parti ini. Namun, disebabkan KEADILAN menjadi antara faktor penentu masa depan Pakatan Rakyat dan dilihat semakin kuat apatah lagi keberanian untuk menjalankan proses pemilihan ‘satu ahli satu undi’, maka mahu tidak mahu UMNO/BN melihat ini sebagai kanser yang akan menyerang saraf mereka. KEADILAN lebih berani menterjemahkan demokrasi yang lebih terbuka untuk anggotanya dan umumnya rakyat. Ini dilihat baik untuk rakyat. Ini kelebihan Anwar, beliau cukup tenang berdepan dengan semua ujian ini. Rakyat menilai kekuatan pemimpin seumpama ini. Ternyata sekali lagi UMNO/BN cemas.

Pilihanraya akan berlangsung pada tahun hadapan, terpaksa UMNO/BN seberapa segera menyerang faktor penyatu Pakatan Rakyat, iaitu faktor Anwar Ibrahim dan parti KEADILAN. Serangan perlu fokus, Anwar Ibrahim mesti diserang kanan dan kiri. Baik menggunakan undang-undang, fitnah, barisan MP lompat, pimpinan UMNO dan media massa.

Pimpinan UMNO nampaknya kurang berani menyerang Anwar Ibrahim secara langsung kerana mereka tahu Anwar dan Pakatan Rakyat dipihak yang benar atau mereka sengaja berhelah dengan menggunakan barisan MP lompat dan media perdana untuk terus-terusan mengkritik secara keras. Ini untuk menjaga nama baik UMNO, yang busuk nama barisan MP lompat dan media perdana. Lihat, tatakala UMNO/BN hilang sokongan politikpun mereka sanggup mempergunakan orang lain termasuk media dengan merosakkan imej media perdana yang sepatutnya menjadi agen makluman polisi kerajaan untuk rakyat dan bebas kepada menjadi agen fitnah parti UMNO/BN. Mungkin media perdana tidak salah, yang salahnya beberapa pimpinan UMNO/BN yang secara salah member tekanan terhadap media perdana untuk terus memburukan imej Anwar Ibrahim dan PR.

Anwar Ibrahim cukup tenang berdepan semua ujian ini. Bermula daripada dibuang daripada kerajaan 12 tahun sudah, fitnah liwat dan hari ini parti yang diasaskannya juga diserang bagi memburukkan imej. Serangan dibuat tanda UMNO/BN cemas dan terpaksa membuat ini semua bagi mengekalkan kuasa menjelang Pilihanraya Umum ke 13 tahun hadapan. Najib Tun Razak demam mendengar masa depan KEADILAN yang lebih baik ini.

Rakyat lebih bijak menilai, anak muda membuat konklusi bahawa lagi diserang KEADILAN, ini bermakna parti ini kian penting dalam arena politik negara dan punyai masa depan yang baik. Kerana media juga melihat masa depan KEADILAN yang baik untuk mentadbir Malaysia. Sebab itu mereka memberikan fokus kepada jatuh bangunnya PKR. Maka anggota parti akan melihat siapa yang melatah dan siapa yang bersedia secara matang untuk memimpin Malaysia.

Media yang telus akan dapat melihat beza banding 53 tahun UMNO/BN memerintah dengan hanya 2-3 tahun Pakatan Rakyat mentadbir di Kedah, Kelatan (20 tahun), Pulau-Pinang dan Selangor dengan baiknya, berkebajikan,telus dan komited untuk rakyat. Rakyat begitu faham akan mainan media jika ada yang berat sebelah, akhirnya serangan media perdana yang keterlaluan akan diterjemahkan sebagai keprihatinan rakyat untuk bersama membaiki, menyokong dan memberikan harapan masa depan untuk KEADILAN dan PAKATAN RAKYAT.

Wednesday, November 10, 2010

Alhamdulillah, Dikurniakan Zuriat Kedua: Istifadah Proses Kelahiran

Salam, Alhamdulillah, pada jam sekitar 8.30 PM, 10 Nov 2010, saya dan isteri dikurniakan zuriat yang kedua, Nurul Hana' Wafa, di Hospital Kg. Baru. Terima kasih buat ahli keluarga dan teman-teman seperjuangan yang mendoakan keselamatan dan kemudahan. Didoakan keberkatan buat semua. Abangnya Muhammad Anwar Zaidan sempat datang menjenguk adik barunya. Gembira bertambah ahli keluarga.
Tatkala agak padat dengan taklifan parti dan pemilihan, diuji dengan waktu untuk bersama disisi isteri bagi melahirkan zuriat. Alhamdulillah, keberkatan masa atas Allah, maka ada kelapangan waktu untuk bersama memberi sokongan buat isteri.
Benar sungguh bahawa kekuatan wanita melahirkan anak tiada tandingan. Mungkin lelaki disitupun boleh tewas. Mudahan-mudahan zuriat yang dilahirkan mampu untuk menyumbang sesuatu buat perjuangan agamanya dan negara. Perit jerih ibu mengandung, sudah pasti kita perlu bermuhasabah bagi memastikan kita juga meletakkan istiqamah atas jalan perjuangan kebenaran dan keadilan yang sebenar sebagai khalifah dimuka bumi Allah.
Meletakkan perjuangan menegak kebenaran dan menentang kebatilan adalah taklifan agung yang perlu ditunaikan setiap insan dengan menginsafi proses kelahiran manusia. Sekali lagi saya kagum dengan kekuatan wanita melahirkan anak, apatah lagi melihat isteri berjuang lebih hebat berbanding kita di medan politik. Terima kasih yang teramat saya ucapkan kepada isteri tercinta atas kecekalan untuk melahirkan zuriat. Inilah kekuatan wanita yang tidak tertanggung oleh lelaki.
Sama-sama kita renungkan istifadah proses kelahiran kita sebagai manusia agar kita lebih berfikir menjadi pejuang tulen berasaskan kefahaman dan nilai prinsip yang benar, khusus buat teman-teman anak muda pewaris negara. Salam hormat dan Salam Perjuangan buat semua. Wassalam.

Tuesday, October 19, 2010

JADUAL PROGRAM & CERAMAH



CERAMAH UMUM

Ustz Kamal Ashaari PAS
Nazree Yunus KEADILAN
22 Oktober 2010, JUMAAT
Masa: 9.00 mlm
Muasasah Jempol, N. Sembilan


MAJLIS JAMUAN TEH

Nurul Izzah Anwar
Dr. Mansor Othman
Nazree Yunus
23 Oktober 2010, SABTU
Masa: 2.30 ptg
Kg. Terap Senaling, Kuala Pilah, N. Sembilan

CERAMAH PERDANA

YB Ir Khalid Samad
Che'GuBard
Nazree Yunus , Mantan Pengerusi GERAK
24 Oktober 2010 , AHAD
Masa : 8.30 malam
Di MTD Teluk Kemang, Port Dickson

Maklumat lanjut hubungi Eja 010-3428260

Penerimaan Pencalonan Naib Ketua AMK Malaysia


Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menerima pencalonan bagi jawatan NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA) Sesi 2010-2013.

Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan dukungan teman-teman anak muda khususnya anggota Angkatan Muda Keadilan dalam membuat pencalonan ini. Pandangan dan dukungan teman-teman seperjuangan adalah amat dihargai. Salam hormat & Salam perjuangan buat semua.

Monday, October 11, 2010

Mansuhkan AUKU & Kebebasan Mahasiswa Berpolitik

AUKU perlu di mansuhkan. Ini perlu menjadi pendirian & kenyataan tegas gerakan mahasiswa. Draf Akta Alternatif bagi menggantikan AUKU perlu diketengahkan segera. Saya optimis bahawa pimpinan mahasiswa sudahpun bersedia dengan Akta baru itu. Draf akta baru itu perlu dibawa ke Parlimen bagi menunjukkan bahawa mahasiswa berhujah dengan membawa alternatif akta baru yang lebih relevan dengan pembangunan holistik mahasiswa.


Pimpinan kerajaan mahupun pembangkang perlu membahaskan secara serius Akta baru Universiti & Mahasiswa. Gagasan idea Akta baru yang saya yakin telahpun ada diperingkat mahasiswa wajar diangkat ke Parlimen dengan segera bagi menyelamatkan potensi besar mahasiswa Malaysia.

Draf Akta baru yang lebih konprehensif dan konstruktif adalah perlu bagi membentuk gerakan mahasiswa dan potensi modal insan yang holistik. Gerakan anak muda bersedia bersama-sama dengan mahasiswa dalam menggerakkan agenda menggazetkan akta baru universiti & mahasiswa di Parlimen. Ini sejarah baru yang perlu dibukukan oleh gerakan mahasiswa dan golongan intelektual menara gading.

Mahasiswa wajar dibenarkan mempunyai kebebasan politik. Walaubagaimanapun,
mahasiswa harus kekal non-partisan. Ini menjadi kunci kekuatan mahasiswa. Namun sokongan wajar diberikan kepada perjuangan kebenaran & keadilan untuk rakyat. Saya optimis untuk melihat pemerintahan Pakatan Rakyat lebih baik dalam memberikan hak kewajaran berpolitik terhadap mahasiswa. Kematangan mahasiswa akan dapat menilai perkara ini. Mana-mana politik partisan yang menyekat hak anak muda & mahasiswa untuk bersuara secara bebas & adil demi untuk merealiasasikan idealisme murni harus ditolak.

Wednesday, September 29, 2010

Pemilihan PKR: Suatu bukti komitmen Politik Baru KEADILAN & PR

Pemilihan Pusat bagi KEADILAN sedang berlangsung. Ternyata menarik minat ramai pihak termasuk media dan parti-parti lain termasuk UMNO. Maka berkokok TS Muhyiddin TPM Negara berkenaan kekecohan dalam Pemilihan Pusat Keadilan. Nampaknya TPM juga prihatin dengan perkembangan PKR.

Apa-apa pun pandangan pihak luar, saya yakin pimpinan KEADILAN dapat menerima baik pandangan tersebut. Namun, TS Muhyiddin jangan lupa dan harus ingat, UMNO haram 1987 selepas pemilihan parti. KEADILAN baru sahaja secara demokratik membuka ruang kepada anggoata hak 'one member one vote' bagi pemilihan pucuk pimpinan pusat. Kekecohan tidak berlaku di 159 Cabang berbanding 7 Cabang yang ditangguhkan. Ini suatu perkembangan demokrasi yang memberangsangkan.

Lebih mudah untuk kita rumuskan bagi generasi baru. Method Pemilihan Pimpinan Cabang dan Pusat bagi Parti Keadilan Rakyat adalah suatu bukti komitmen PEMBUDAYAAN POLITIK BARU oleh Parti Keadilan Rakyat dan secara tidak langsung juga adalah Politik Baru Pakatan Rakyat. Apakah berani UMNO/BN dalam soal keterbukaan politik sebegini rupa? Kita nantikan lagi respond Najib Tun Razak pula.

Tuesday, September 21, 2010

Beranikah Ezam turun lagi Ke Mersing

"Bajet rendah PAS Kawasan Mersing menyebabkan bumi tapak ceramah malam tadi (25 Julai 2010) di Mersing Kanan basah. Namun audien tidak ambil kisah. Mereka terus memasang telinga mendapatkan maklumat daridapa dua orang penceramah iaitu Justify FullYB Amirudin Bin Shari (ADUN Batu Caves) dan Nazree Yunus (Mantan pengerusi GERAK Malaysia).

Kedua penceramah diundang untuk menjawab segala tuduhan Ezam Md Noor dalam ceramahnya di Kg Sri Lalang tempoh hari. Nazree berkata, Ezam cuba membawa rakyat ke era 50-an Politik perkauman sudah ketinggalan. Kini era politik berasaskan fakta keadilan. Ezam mendedahkan orang ramai kepada emosi dan lorong fitnah. Dia main percaya kepada gerak hati tanpa bukti. Perakuan Saiful disimpulkan membawa bukti bahawa Anwar Ibrahim bersalah. Nazree mempersoalkan, mengapa dulu Azmin dijadikan penyebab Ezam melompat ke dalam gerombolan UMNO tetapi kini isu moral Anwar pula disabitkan. Ezam sebenarnya telah berusaha membawa Anwar kembali ke pangkuan UMNO untuk menyokong Pak Lah dan kemudiannya mengambil alih tampuk kuasa sebagai PM. Ezam juga dikatakan sebagai orang yang ingin menghapuskan rasuah terutamanya di dalam kerajaan BN, tetapi aneh sekali kini beliau se kelambu bersama mereka.

Nazree menyatakan lagi, Ezam tampak beriya-iya membuat laporan. Namun selepas tempoh dua minggu, beliau senyap, tiba-tiba bangkit dalam ceramahmelaazkan sokongan terhadapp UMNO BN.

YB Amirudin pula antara lain mengajak audien usah percaya dengan tuduhan UMNO secara semberono. Khir Toyo misalnya mendedahkan kes pasir berlori-lori dibawa lari oleh pencuri. Khir toyo kononya pelik mengpa tiada tindakan Kerajaan Negeri Selangor kini. YB Amirudin menyatakan bahawa pasir tersebut sudah hilang semenjak Khir Toyo menjadi Menteri Besar lagi! Mustahil lubang sebegitu besar dan dalam berupaya digali dalam tempoh dua tahun ke belakangan ini.

Kedua-dua penceramah mengajak audien ke arah politik bermaklumat, berasaskan fakta, keadilalan rakyat dan nilai-nilai murni. Zaman politik ugut, ftinah, adu domba, putar belit maklumat telah berlalu. Sampai masa ceramah tamat, hujan masih mencurah. Mungkin ada benarnya kata Pengerusi Majlis, bahawa mudah-mudahan hujan yang turun adalah hujan rahmat. Barangkali hujan ini juga tidak sempat menjadikan ceramah Pakatan Rakyat ini benar-benar panas seperti yang dibayangkan dalam kain rentang di pinggir simpang jembatan sungai Mersing.

Beberapa orang yang penulis temui menyatakan amat berpuas hati dengan kedua orang tokoh muda PKR ini. Mereka berdua tampak tidak emosional dan berjaya menyampaikan hujah secara rasional.

Penulis perasan beberapa pimpinan UMNO bahagian Mesing mendengar dari dalam kereta masing-masing yang diparkir berdekatan tapak ceramah. Penulis pulang dengan persoalan, beranikan Ezam turun sekali lagi ke Mersing?


http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=8761


Tuesday, August 3, 2010

SPRM perlu buktikan kredibiliti: Dakwa Menteri Rasuah & Usul Pindaan Perlembagaan

Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kasim Mohamed yang menyarankan agar Menteri Kabinet mengisytiharkan harta perlu disusuli dengan tindakan pendakwaan jika terbukti terdapat keraguan terhadap pemerolehan harta oleh pimpinan/menteri kerajaan.

Namun yang ingin kita bahaskan adalah apakah kekebasan pendakwaan itu ada pada SPRM? Ini kerana menurut AKTA SPRM 2009, Seksyen 58 jelas menunjukkan bahawa kuasa pendakwaan terletak dibawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya dibawah bidang kuasa SPRM.

Saya mengesyorkan supaya kerajaan melalui Parlimen meminda Seksyen 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dalam mahkamah.

Saya cukup optimis untuk melihat ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara. Justeru, untuk sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dalam memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah.

Langkah SPRM untuk mendesak agar Menteri Kabinet mengisytiharkan harta tidak akan membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara. SPRM terpaksa menunggu kebenaran atau penurunan kuasa oleh Peguam Negara sebelum mana-mana kes rasuah didakwa.

Mekanisme pengisytiharan harta juga perlu melibatkan ahli keluarga Menteri Kabinet. Ini supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh. SPRM perlu mendakwa mana-mana Menteri yang terlibat rasuah walaupun sedang memegang jawatan. Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya didakwa di mahkamah.

Mungkin selepas ini juga, ahli-ahli politik berjawatan tinggi dan berkuasa dalam kerajaan pusat/negeri juga wajar mengisytiharkan harta mereka. Ini mungkin langkah seterusnya yang wajar disemak oleh SPRM. Tanpa pendakwaan yang serius terhadap kes-kes berprofil tinggi, maka kredibiliti SPRM agak sukar untuk dipulihkan.

Tuesday, July 27, 2010

Ezam Mahu Selamatkan Selangor Daripada Siapa?

Perkara ini perlu dihujahkan. Ezam begitu keras dalam dakwaannya untuk menyahkan Anwar Ibrahim daripada menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Apa dosa Anwar pada rakyat Selangor? Ini yang perlu Ezam jelaskan.

Tuduhan lanjutan Ezam adalah dengan menyatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah alat dan perkakas Yahudi. Apakah ini benar? Bagaimana pula dengan hubungan Kerajaan di bawah Najib Tun Razak dengan APCO? Bayaran RM 77 juta kepada APCO itu apa? Ini Ezam tidak jelaskan.

Saya lebih berminat untuk berbahas dengan Senator Ezam tentang isu integriti. Apakah amukan Ezam di Selangor ini ada kaitannya dengan integriti dan anti rasuah. Jika ini persoalannya, lebih baik kita berhujah dengan mauduk ini. Saya kira landskap Politik Baru adalah politik hujah dan nilai. Maka mungkin Senator Ezam bersedia berhujah berbanding sekadar hanya berceramah dalam Kempen Selamatkan Selangor. Kita boleh berhujah daripada siapakah yang mahu kita Selamatkan Selangor? Apakah faktanya? Siapa yang terlibat? Mungkin ini lebih baik dalam mencelikkan rakyat dengan K-Politic. Benarkah hujah Ezam ataupun ini satu lagi dendangan retorik Senator Ezam.

Nanti kita akan tahu, apakah benar Ezam bersama UMNO kerana prinsip atau apa?.

Monday, July 19, 2010

Harga petrol, diesel, gula dan gas naik: Anak Muda Tolak UMNO/BN

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai 2010).

Petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel naik 5 sen.
Manakala harga gula pula naik 25 sen, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram
Kenaikan semua harga tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikut adalah harga baru:


- Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
- Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.
- Diesel - RM1.75 seliter.
- Gula - RM1.70 sekilogram
- Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)


Ini adalah harga terkini yang kian membebankan rakyat kebanyakkan. Jika ini berterusan, maka anak muda mempunyai pilihan untuk bangkit menolak UMNO/BN dan bersama bersatu memilih Kerajaan Rakyat di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Rentetan ini berlaku apabila pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman. Mungkin ini langkah Najib Tun Razak untuk mengelakkan Malaysia muflis. Maka rakyat perlu berkorban dan berjimat atau ini signal Najib Tun Razak untuk mengorbankan rakyat? Kita sama-sama fikirkan. Mahukah lagi kita kepada UMNO/BN? Ada satu jawapan kepada UMNO/BN, rakyat boleh membantu dengan menunjukkan jalan keluar kepada mereka pada PRU-13 ini.

Untuk melunaskan tanggungjawab ini, pastikan anda rakyat Malaysia dan anak muda yang sah berdaftar sebagai pengundi. Sila layari http://www.daftarundi.com/

Selamat Datang ke DaftarUndi.com. Di sini kami mempromosi pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya anak-anak muda yang jumlah mereka mencecah 4.39 Juta Orang.

Pendaftaran pengundi baru boleh dibuat dengan beberapa kaedah:-


(a)
Pejabat-pejabat SPR
(b)
Pejabat-pejabat pos berkomputer
(c)
Wakil-wakil jabatan
(d)
Wakil-wakil parti politik (daftar baru sahaja);
(e)
Pasukan Outreach SPR |Tiada aktiviti ketika ini)


Sunday, July 18, 2010

Ceramah Pakatan

Tarikh : 25 Julai 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 malam
Penceramah : YB Amiruddin Shari (ADUN Batu Caves) & Nazree Yunus (Mantan Pengerusi GERAK Malaysia)
Tempat : PASTI Mersing Kanan, Mersing, Johor.

SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Monday, July 12, 2010

Anwar Agen CIA: UMNO sudah mula percaya blogger?

Komen-komen pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Shafie Apdal tentang Anwar adalah agen CIA begitu dangkal. Semua serangan ini adalah bertujuan untuk memburukkan imej Anwar sekaligus menutup hubungan Kerajaan UMNO-APCO.

Tetapi pelik untuk kita fahami pemikiran pemuka UMNO/BN ini. Disuatu masa hendak menangkap Raja Petra Kamaruddin atas alasan tulisannya di MalaysiaToday adalah fitnah dan tidak berasas dalam mengaitkan Rosmah Mansor, Najib dan lain-lain atas tragedi pembunuhan Altantuya yang mungkin ada kaitannya dengan komisen Kapal Selam. Namun hari ini pak menteri UMNO (Muhyiddin, Shafie Apdal, Rais Yatim, Hishamuddin Tun Hussein) pula mula percaya pada sumber blogger antarabangsa yang boleh dipertikaikan kebenaran beritanya.

Jika mereka desak untuk laporan blogger tersebut disiasat, maka siasatan awal perlu dibuat juga ke atas Najib berkaitan isu pembelian Kapal Selam dalam laporan media di Perancis. Apakah Malaysia menolak hubungan dengan CIA? Jika dahulu mempertikaikan kredibiliti blogger namun hari ini sandaran pak menteri UMNO untuk melakukan serangan peribadi kepada Anwar Ibrahim juga adalah bersumberkan web/blogger.

Akhbar perdana naungan UMNO/BN seperti Mingguan Malaysia turut serta melaporkan informasi blogger dari New York, bernama “Elaine Meinel Supkis” yang tidak dikenali umum yang menuduh Anwar adalah “agen CIA” di dalam sebuah tulisan yang dipaparkan di blognya. Pimpinan UMNO/Bn minta supaya rakyat jangan percaya blogger tetapi hari ini pak-pak menteri UMNO/BN pula yang sudah terpengaruh dengan blogger.

Jika mereka percaya blogger maka secara simboliknya mungkin sudah ada dikalangan pak menteri UMNO/BN dan pemimpin kanan yang lain sudah mula mempercayai info blogger berkaitan skandal Najib (Kapal Selam & Altantuya) termasuk apa yang dikatakan oleh RPK (Raja Petra Kamaruddin).

Jika Anwar Ibrahim agen CIA, mengapa perlu untuk beliau membayar CNN bagi mendapatkan ruangan untuk diwawancara oleh CNN? Setiap minggu Anwar boleh ditemuramah CNN jika dia agen CIA. Ini mungkin berbeza dengan Rosmah Mansor yang mungkin terpaksa membayar New York Times demi memastikan beliau yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak dimahsyurkan sebagai 'First Lady' dalam akhbar tempatan Amarika Syarikat pada 16 April lepas. Persoalannya kepada kita, dengan wang siapakah Rosmah Mansor membiayai? Apakah ini mungkin duit rakyat? Mungkin pemuka UMNO/BN ada jawabannya.

Wednesday, June 23, 2010

Gerakan Mahasiswa & Anak Muda : Gerakan Independent tetapi berpihak


Justify Full
Beberapa sorotan perkongsian Gerakan Mahasiswa. Sudah sememangnya anak muda/mahasiswa bebas terlibat dengan NGO dan parti-parti politik dalam menggerakan massa dengan agenda kebenaran dan keadilan. Ini tidak menjadi kesalahan kerana hak dan kebebasan yang digazetkan dalam Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan.


Gerakan anak muda termasuk mahasiswa adalah gerakan yang bebas, neutral dan non-partisan. Tetapi sebenarnya jika diteliti, wajah-wajah Gerakan Mahasiswa dan Anak Muda adalah gerakan yang berpihak. Mereka mempunyai kecenderungan untuk berpihak. Realitinya Gerakan Mahasiswa dan Gerakan Anak Muda akan berpihak kepada perjuangan Kebenaran & Keadilan.

Sunday, June 20, 2010

Pakatan Rakyat: Perubahan Perjuangan Politik kepada Perjuangan Rakyat

Kembalinya Pakatan Rakyat kepada perjuangan rakyat perlu untuk kita pastikan berlaku. Jika ini tidak berlaku maka pertempuran dalam medan Pilihanraya Umum Ke-13 nanti adalah langsung menjadi pertempuran politik total.
Pakatan Rakyat wajar menyorot kembali kemenangan memberangsangkan pada PRU 10 (1999) dan PRU 12 (2008) adalah disebabkan kita membawa perjuangan rakyat. Permainan politik total akan menjerumuskan Pakatan Rakyat dalam permainan politik regim UMNO/BN yang teruk sejak 52 tahun merdeka.
Jika mahu dibandingkan pendekatan politik 2-3 tahun PR (selepas 8 Mac) dengan 52 tahun politik UMNO/BN maka sudah tentu ada beberapa kelebihan UMNO/BN daripada aspek manipulasi jentera kerajaan dan kewangan secara salah.
Sebab itu perlu untuk dikembalikan perjuangan Pakatan Rakyat kepada 'mode' dan modus operandi perjuangan rakyat. Ini penting untuk dilaksanakan. Kita tidak mahu PR terlamun lena dalam birokrasi politik. Rebutan jawatan politik, rebutan kontrak dan manipulasi kewangan wajar dihindar daripada berlaku seburuk yang dilakukan UMNO/BN tatkala merompak wang rakyat.
Anak muda lebih berminat dengan Pakatan Rakyat yang berjuang dalam hal-hal rakyat. Anak muda tidak gemar dengan perjuangan politik total. Politik hanya landasan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat. Pemimpin hanya sekadar pengurus kepada harta negara untuk diagihkan kepada rakyat secara saksama.
Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat membincangkan lebih mendalam persoalan perjuangan rakyat ini. Kita bimbang, takut-takut Pakatan Rakyat terperangkap dalam perjuangan politik total semata berbanding perjuangan rakyat. Ini harus dibahaskan.

Tuesday, June 8, 2010

Mampukah Pakatan Rakyat jadi Kerajaan Bersih? UMNO/BN bagaimana?

Pakatan Rakyat perlu memfokuskan penerangan terhadap isu-isu semasa, Good Governance dan Negara Berkebajikan untuk rakyat. Banding beza diantara pencapaian Pakatan Rakyat dalam tempoh 2 tahun lebih ini berbanding UMNO/BN yang sudah hampir 52 tahun memerintah Malaysia. Laras bahasa penerangan itu perlu mengikut daerahnya. Bandar lain caranya, kampung lain caranya. Namun infonya tetap sama. Pakatan Rakyat telahpun 'deliver' dengan baik kepada rakyat baik daripada aspek kebajikan mahupun kepimpinan beramanah. Kita boleh semak pencapaian ini dengan merujuk kepada laporan Audit Negara dan info semasa negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (Kelantan, Kedah, Pulau-Pinang & Selangor).

Namun terdapat juga juak-juak UMNO/BN yang masih yakin jika diletakkan songkokpun UMNO/BN boleh menang. Apakah ini masih mungkin berlaku untuk Pilihanraya ke-13? Mungkinkah watak 'songkok' akan menang? Pandangan ini diberikan oleh pemuka-pemuka UMNO bagi kawasan FELDA dan tegar Melayu. Mereka pemuka UMNO sebut letak 'songkok' masih boleh menang. Hujah mereka, lihat Hulu Selangor? Benarkah itu petunjuknya?

Apakah anak muda bersetuju dengan fenomena politik seumpama ini. Dalam kebanyakkan sembang-sembang santai anak muda. Sudah mula ada mempertikaikan bahkan mempersoalkan apakah mampu Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan yang lebih bersih berbanding UMNO/BN? Ini pertikaian yang timbul akibat noda-noda lompat parti oleh ahli Parlimen/ADUN PR dan termasuk juga bekas pimpinan PR yang jelas memualkan untuk anak muda. Generasi muda tidak selesa dengan gaya politik tidak berprinsip. Pendekatan konstruktif dan kritis dengan prinsip menjadi pilihan generasi baru.

Begini jawaban kita, Pakatan Rakyat dipersoalkan tentang kemampuannya pada masa hadapan untuk menjadi Kerajaan Bersih dan lebih baik berbanding UMNO/BN, namun wajib kita sedar bahawa UMNO/BN hari ini telahpun menjadi Kerajaan Korup & Tidak Bersih. Pilihan yang ada pada anak muda adalah lebih baik memilih bersama dan mendukung Pakatan Rakyat untuk membina masa depan Kerajaan Bersih berbanding bersama UMNO/BN yang telahpun kotor pada hari ini.

Saturday, May 29, 2010

Ezam Mencabar bukan Dicabar? Melatah dalam menjawab, Politik Sumpah-Sumpah

Ezam Mohd Nor dalam rangkaian medianya sudah mula menjawab cabaran saya tempoh hari kepada beliau. Masih berani lagi Senator Ezam ke mahkamah untuk menonjol diri dalam kes fitnah liwat kedua ini. Dengan jelas menyatakan bahawa beliau percaya Anwar Ibrahim seorang peliwat. Namun hujahan Ezam tidak ada substancenya.
Ezam sendiri mengaku bahawa dia bukan mangsa liwat. Jadi apakah royanan Ezam terhadap Anwar? Beliau bukan mangsa? Ezam lebih lama bekerja dengan Anwar. Tidak menjadi mangsapun? Jadi apakah masalah sebenar Ezam dengan Anwar? Apakah jawatan tidak cukup baik untuk Ezam ketika bersama Anwar? Jawatan Senator yang Ezam dapat hari inipun kerana Anwar. Banyak sewajarnya terima kasih Ezam kepada Anwar. Ezam mengaku berjumpa Saiful dalam tempoh 2 jam. Ezam juga mengaku bahawa dalam tempoh itu beliau tidak sempat merancang konspirasi? Namun ini hanya baru satu pertemuan yang kita maklumi. Apakah nanti akan didedahkan pertemuan-pertemuan yang lain antara Ezam dan Saiful berserta buktinya? Apakah Ezam hanya menjadi kambing hitam untuk Najib supaya PM tidak perlu kemahkamah? Mungkin ini cagaran jawatan Senator. Ya ataupun tidak?
Pertemuan dikatakan Ezam hanya dua jam? Dan Ezam mengakui bahawa itu pertemuan pertamanya dengan Saiful. Ezam mengakui tidak pernah kenal dengan Saiful dan berhati-hati dengannya. Antara Ezam dengan Saiful, siapakah lebih lama bertugas dengan Anwar Ibrahim? Ezam lebih lama, jadi mengapa Ezam perlu menunggu hadirnya seorang bernama Saiful untuk menguatkan diri berani tampil bercakap tentang isu liwat ini? Mengapa selepas 9 tahun bersama PKN/PKR barulah Ezam keluar parti?. Mengapa tidak dalam tempoh dua tahun sebagai Setiausaha Politik Anwar? Sepatutnya dalam tempoh 2 tahun itulah Ezam keluar meninggalkan Anwar. Kenapa pada tahun 2007 baru mengkhianati Anwar & PKR? Ini jelas bahawa keyakinan Ezam hanya bersandar pada seorang yang bernama Saiful yang dia sendiri tidak kenali lantas terus berani Senator ini bercakap bahawa Anwar Ibrahim seorang peliwat. Ezam percaya kepada seseorang yang dia sendiri baru kenali. Dalam masa yang sama Ezam juga bercerita tentang kepercayaannya terhadap fitnah liwat ini adalah bersumberkan maklumat daripada orang lain. Maknanya Ezam sendiri tidak pernah melihat perbuatan tersebuat? Jadi bagaimana boleh percaya fitnah ini? Bolehkah percaya dakwaan orang lain yang tidak rapat dengan Anwar berbanding Ezam sendiri yang mengaku orang kuat & rapat dengan Anwar pun tidak pernah dijadikan mangsa. Ezam sendiri mengaku dia tidak pernah mengalaminya. Atau Ezam merasakan dia tercicir kasih sayang Anwar kepadanya? Mungkin Anwar lebih sayang orang lain berbanding Ezam, lantas Ezam merajuk membawa diri. Sudah penat berjuang untuk Anwar 9 tahun, tetapi tertinggal perahu. Rupanya ini gaya Pendekar AMK dahulu? Janganlah lagi diikuti oleh para pendukung Keadilan yang lain.
Ezam hari ini menjawab tuduhan bahawa beliau terlibat konspirasi kerana dicabar. Dicabar oleh siapa? Ezam perlu jawab? Siapa yang mencabar kamu? Anwar Ibrahim tidak pernah mencabar beliau berkaitan isu ini? Tapi yang memulakan cabaran adalah Ezam sendiri yang menggesa Anwar dan Wan Azizah untuk bersumpah. Selepas mendapat jawatan Senator, lagi rancak Ezam mencabar sumpah dan bersumpah. Sampai Najib pun terikut-ikut bersumpah. Sumpah sudah jadi budaya baru politik UMNO/BN. Pembawa penyakit ini adalah Ezam. Saya kira orang UMNO/BN sendiri ada yang tidak setuju. Tetapi apakan daya, yang bawa penyakit adalah seorang Senator. UMNO/BN daripada menjadi Parti Melayu menjadi Parti Sumpah-Sumpah. Insyallah, anak muda akan tolak Parti Sumpah-Sumpah UMNO.
Ezam percaya kepada Saiful kerana kononnya Saiful berani berjumpa ulamak dan juga mungkin bersumpah. Tidakkah Ezam lupa, beliau juga dahulu kuat bersumpah akan lawan habis-habisan UMNO/BN. Tetapi hari ini apa jadi dengan Sumpah Keramat Ezam? Sumpah sudah memakan diri? Begitu juga dengan sumpah Saiful. Ezam mungkin mudah lupa tentang ini. Ezam lupa nasihat Mahathir.
Ezam minta Anwar bersumpah, apakah Ezam sudah lupa dengan dakwaan khalwat Najib Tun Razak di Port Dickson. Berani ataupun tidak Ezam mendesak Najib PM untuk turut serta bersumpah bagi menafikan kes khalwat itu? Bukankah ini dahulu tuduhan Ezam kepada Najib? Jika Najib tidak terlibat, Ezam perlu bersumpah pula menjunjung Al-Quran agar dapat membersihkan Najib daripada tuduhan khalwat di PD itu. Kita tunggu Senator Ezam bersumpah pula untuk bela bos barunya PM Najib Tun Razak. Jangan lupa mohon juga Najib bersumpah di Masjid Persekutuan seperti Saiful bagi menafikan tuduhan dalam kes Altantuya.
Bersumpah ini barangkali penting untuk Ezam, jika nanti Anwar pula bersumpah, apakah Ezam mahu patah balik dengan Anwar? Dimana Ezam mahu letak muka pada Najib? Kadangkala kita harus berfikir sebagai orang bijak, tidak semua perkara selesai hanya dengan sumpah. Apakah makna sumpah jika hanya untuk kepentingan diri dan fitnah. Politik sumpah atau politik sesumpah ini wajar dikuburkan dalam arus politik demokrasi yang adil demi kebenaran. Politik anak muda pada hari ini adalah politik yang berasaskan pengetahuan. K-Politic adalah pendekatannya. Mohon Senator Ezam bahas tentang sumpah ini di Dewan Negara jika penting sangat untuk dengar Anwar Ibrahim bersumpah.

Monday, May 24, 2010

KESATUAN KEARAH KEBANGKITAN: MEMBINA GENERASI PERUBAHAN UNTUK MALAYSIA

Salam, Kongres Parti Keadilan Rakyat akan diadakan pada 28-30 Mei 2010 akan datang di Kota Bharu, Kelantan. Didoakan agar Kongres PKR berjalan lancar dengan semangat islah, reformasi dan niat melakukan perubahan demi keadilan dan kebenaran.

Namun yang wajar kita cermati adalah persoalan sumbangan dan gerak kerja anak muda dalam PKR. Ini enjin yang perlu diperkemaskan agar seluruh kepakaran teman-teman AMK khususnya yang telah lama bersama PKR disatukan. Anak muda harus bersatu. KESATUAN kita adalah KEARAH KEBANGKITAN. Gerak kerja sedia ada perlu dilipat gandakan. Tahniah atas gerakan massa yang telah dilaksanakan oleh teman-teman anak muda AMK.

Ayuh bersama MEMBINA GENERASI PERUBAHAN UNTUK MALAYSIA yang lebih baik untuk semua. Peranan ada ditangan anak-anak muda. Kebangkitan ini perlu digembleng bersama tenaga berpengalaman dalam PKR, Pakatan Rakyat (PAS & DAP), kumpulan reformis, NGO, pimpinan ranting, cabang dan pusat serta angkatan muda.

Selamat Berkongres untuk semua Perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya teman-teman Angkatan Muda Keadilan. Salam hormat & salam perjuangan.

Wednesday, May 12, 2010

Dakwaan Fitnah Liwat 2: Rela atau Tidak, Kredibiliti Saiful Dipertikai?

Laman-laman web pro-UMNO/BN dengan jelas memberikan hujah berkaitan 377B atau 377C itu tidak penting, tetapi yang penting kata mereka 'masuk tetap masuk'. Tidak penting liwat paksa atau suka sama suka, tetapi kata blogger pro-UMNO/BN adalah masuk tetap masuk.
Namun yang ingin kita persoalkan hari ini adalah persoalan kredibiliti saksi. Jika Saiful Bukhari mengatakan liwat dilakukan secara paksa, maka siapa pula yang mengatakan secara rela? Apakah Peguam Negara, Polis atau Siapa?. Ini perlu dijelaskan. Saksi mengatakan yang berlainan dengan pertuduhan di mahkamah?
Jika kenyataan saksi tidak konsisten, apakah ini mungkin menunjukkan bahawa yang mahu mendakwa Anwar Ibrahim atas kesalahan ini adalah orang lain? Siapakah mereka? Adakah mereka individu yang ditemui Saiful Bukhari sebelum laporan polis dan pemeriksaan hospital dibuat? Ini kerana tuduhan saksi tidak tepat dengan 'charge' yang dibuat. Pertuduhan adalah pertuduhan yang cacat dan salah. Jarang sekali jika berlaku sesuatu tuduhan oleh mangsa berlakunya pertuduhan yang salah.
Jika seseorang kehilangan unta, maka yang didakwa dimahkamah adalah pencuri unta. Namun saksi memberikan kenyataan bahawa beliau mengetahui siapa individu pencuri kambing pula. Lain yang dituduh, lain pula kenyataan di mahkamah. Ini sungguh menghairankan kita.
Kita persoalkan siapa yang sebenarnya mahu mendakwa Anwar Ibrahim? Apakah ini pendakwaan konspirasi politik? Tidak nampak konsistensi kenyataan Saiful Bukhari dengan pertuduhan terhadap Anwar Ibrahim. Ini kata peguam, apa pula kata kita sebagai rakyat dan anak muda?.

Mufti & Majlis Fatwa Kebangsaan Didesak Keluarkan Fatwa Judi Piala Dunia

Para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan didesak agar mengeluarkan fatwa secepat mungkin bagi menangani isu judi bola sepak yang dihalalkan kerajaan sempena Kempen Piala Dunia 2010.
Kita memaklumi bahawa fatwa hanya dikeluarkan apabila sesuatu masalah itu tidak mempunyai dalil langsung daripada Al-Quran & As-Sunnah. Namun desakan dibuat agar ada suatu bentuk kenyataan rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti berkaitan hal ini. Jangan hanya bekas mufti seperti Dr. Asri Zainal Abidin sahaja yang berani menyatakan hujah haramnya diberikan lesen berjudi bola.
Walaupun mungkin ini dikatakan hanya untuk orang bukan Islam, tetapi dimanakah status negara Islam yang kononya dicanang oleh Dr. Mahathir dahulu. Apakah ini makna Satu Malaysia oleh PM Najib Tun Razak. Kita kira perjudian bola sepak ini juga ditolak oleh agama-agama lain selain Islam.
Mohon kenyataan rasmi daripada para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk kenyataan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Baharom berkaitan kelulusan kerajaan kelmarin 11 Mei 2010 mengeluarkan lesen judi kepada Kumpulan Berjaya sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan.

Tuduhan Fitnah Liwat 2: Petanda Menunjukkan Mungkin Ada Formulasi Konspirasi Terancang

Jika pada hari pertama sambungan perbicaraan tuduhan fitnah liwat kedua ke atas Anwar Ibrahim pada 10 Mei dengan jelas Saiful Bukhari Azlan menyatakan adanya pertemuan dengan PM Najib Tun Razak dan ACP Rodhwan Mohd Yusof (sekarang SAC 1) Ketua Polis Melaka sekarang pada 24 Jun 2008 (Selasa) iaitu 2 hari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku pada 26 Jun 2008 (Khamis).
Tetapi semalam (12 Mei 2010), hari ketiga sambungan perbicaraan kita dikejutkan lagi dengan kenyataan Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa Saiful Bukhari juga ada bertemu Senator Ezam pada malam 27 Jun 2008 sehingga keesokkan paginya iaitu selepas kejadian liwat berlaku iaitu sehari sebelum laporan polis dan hospital dibuat.
Saiful Bukhari Azlan juga mengakui bahawa ada menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada pagi 25 Jun 2008 sehari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku. Kedua-dua Rodhwan dan Musa pula, adalah 'watak utama' semasa perbicaraan Anwar pada 1998 yang menyaksikan Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Persoalannya sekarang, mengapa Saiful Bukhari Azlan mahu bertemu dengan semua individu ini sebelum laporan polis dan hospital dibuat? Laporan polis dan pemeriksaan hospital dibuat hanya pada 28 Jun 2008 (Sabtu). Saiful Bukhari Azlan mengaku bertemu PM Najib Tun Razak, ACP Rodhwan dan Senator Ezam Mohd Nor sebelum daripada 28 Jun 2008. Untuk apa?
Apakah ini menjadi petanda jelas bahawa wujudnya formulasi konspirasi terancang untuk tuduhan liwat kedua ini? Kesemua mereka yang dijumpai dan dihubungi Saiful Bukhari Azlan dimaklumi sebagai musuh politik Anwar Ibrahim. Mengapa perlu mereka semua ini ditemui Saiful Bukhari? Apa harapan Saiful Bukhari kepada mereka? Mengapa tidak terus sahaja Saiful Bukhari membuat laporan polis dan hospital tanpa bertemu PM Najib, Rodhwan dan Ezam?. Apakah jaminan atau ganjaran yang diperlukan oleh Saiful Bukhari? Bagaimana Saiful Bukhari Azlan mempunyai akses langsung kepada individu-individu ini? Kita sama-sama nilaikan.
Mungkinkah ini ada kaitannya dengan perlantikan Ezam Mohd Nor sebagai Senator? Atau ini, kenyataan di mahkamah oleh Saiful Bukhari Azlan adalah jawaban Ezam Mohd Nor kepada saya atas cabaran untuk mendedahkan apakah beliau pernah bertemu Saiful Bukhari? Apakah agaknya nasihat dan peranan Senator Ezam Mohd Nor dalam berdepan dakwaan Saiful Bukhari bahawasanya dia diliwat oleh Anwar Ibrahim? Kita masih menunggu juga jawaban daripada Senator Ezam Mohd Nor.

Tuesday, May 11, 2010

Isu Liwat Kedua: Satu Lagi Konspirasi Untuk Alih Perhatian Rakyat Terhadap Isu Rasuah UMNO/BN & Salah Urus Tadbir Negara

Hari ini 11 Mei 2010, dua hari telah berlalu perjalanan sambung bicara kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim. Saksi goyang dalam menyatakan pendirian. Jarang sekali anak muda gugup untuk berdepan cabaran melainkan ini isu fitnah dan konspirasi.
Saiful jelas goyang untuk dua hari perbicaraan ini. Apakah mungkin mahkamah menggugurkan kes ini kelak. Yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat bahawa isu fitnah liwat kedua dan isu lompat parti yang berlaku adalah usaha-usaha secara terancang UMNO/BN untuk menang besar dalam Pilihanraya Ke-13 dan merampas kembali Selangor, Kedah dan Pulau-Pinang.
Dikhabarkan dana sebanyak RM 76.7 bilion mungkin akan dibawa masuk untuk menjadi dana Pilihanraya UMNO/BN hasil daripada duit-duit rasuah yang di'parking' diluar negara. Hanya menteri-menteri pakar UMNO sahaja yang mengetahui bagaimana untuk membawa duit-duit haram daripada luar negara yang menjadi simpanan mereka.
Rakyat jangan tergugat dengan isu yang dibawa UMNO/BN. Fokus kita adalah membentuk kerajaan amanah dan berkebajikan. Pemimpin bersih akan menjadi pilihan rakyat. Rasuah para menteri wajar disiasat segera.
Isu kehilangan enjin jet pejuang F5-E bernilai RM 50 juta, Kapal selam scorpene tidak boleh menyelam yang melibatkan rasuah RM 3.7 bilion. APCO dibayar RM 20 juta yang mana boleh menjejaskan keselamatan negara, isu keselamatan oleh PDRM, kes tembakan melulu sebahagian anggota PDRM dan lain-lain kes rasuah politik yang belum selesai yang melibatkan ramai pemimpin besar UMNO/BN seperti Rafidah Aziz-Saham Bumiputera, KJ-ECM-Libra, Najib-Kapal Selam-Altantuya, Muhyiddin-Johor dan lain-lain.
Ini isu-isu sebenar rakyat yang melibatkan soal kebajikan, keselamatan dan keamanahan pemimpin. Isu-isu fitnah liwat kedua dan lompat parti adalah usaha terancang UMNO/BN secara strategik untuk menumpaskan Pakatan Rakyat dalam PRU-13. RAKYAT AWAS dengan UMNO/BN.
BERSATU BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Kenyataan Songsang SD Johari Rakan Senator Ezam

Bagi kita songsang sungguh kenyataan oleh rakan Senator Ezam, SD Johari. Barangkali ada ilmu tertinggal diajarkan oleh Senator kepada SD Johari ataupun ini merupakan satu arahan bosnya untuk menjawab gesaan kita agar Ezam menjelaskan apakah beliau pernah berjumpa Saiful ataupun tidak? Apakah Ezam percaya Anwar seorang peliwat. Boleh rujuk kenyataan SD Johari yang percaya bahawa Anwar Ibrahim seorang homoseksual.
Ketika ini, hanya orang bawahan Ezam seperti SD Johari yang berani tampil menyatakan beliau percaya Anwar melakukan perkara itu dan Maha Munafik. Tetapi ini mungkin hujah songsang para pelompat parti apabila hujan duit datang mencurah dan lebat. Apakah mereka faham akan makna munafik? Hujah Dr. Yusuf Qardhawi jelas memperingatkan kita agar tidak membuat tuduhan zina pada orang lain tanpa membawa empat orang saksi. Adakah SD Johari ada 4 saksi yang melihat kejadian itu? SD Johari begitu yakin dengan hujah songsangnya.
SD Johari menuduh Anwar Ibrahim Maha Munafik, namun kita persoalkan apakah selepas 10 tahun baru SD mahu mengesahkan bahawa Anwar seorang peliwat dan Maha Munafik? Tidak lain tidak bukan individu seperti SD Johari hanyalah orang bawahan Ezam yang mengikut bosnya. SD tidak pernah disentuh Anwar tetapi tiba-tiba hilang arah untuk bersama UMNO/BN. Ini menunjukkan ketidakcerdikan mereka. 10 tahun berlalu, barulah kemudian mengaku merasa tertipu. Najib yang berdolak dalih dalam membuat pengakuan di TV3 tentang berjumpa Saiful, apakah itu tidak Maha Munafik? Sd Johari pandai memberikan gelaran kepada orang lain mungkin bagi mewakili Senator Ezam. Jadi apa pula gelaran untuk Najib dan Rosmah? Rasanya tidak berani SD Johari memperkatakan tentang ini kerana dia sekarang berada dirumah UMNO/BN.
Tuduhan liwat ini adalah semata-mata usaha untuk mengalihkan pandangan pandangan rakyat terhadap isu rasuah UMNO/BN serta salah urus tadbir negara.
Mengapa tidak cerdik untuk lebih awal mengetahui bahawa Anwar Ibrahim seorang munafik? Ataupun mereka kini telah digelapkan dengan wang untuk bersama UMNO/BN?. Jangan harap untuk mendapat Senator pula SD Johari selepas mengutuk Anwar Ibrahim. Orang bawahan Ezam ini juga perlu ingat bahawa Senator Ezam dapat jawatan Senator kerana Anwar Ibrahim, tanpa Anwar Ibrahim siapalah mahu memberi jawatan Senator kepada Ezam. Najib pun tidak akan beri jawatan Senator kepada Ezam melainkan ada jasa 'besar' yang perlu dilakukan atau telah dilakukan bagi menguburkan politik Anwar Ibrahim.
Apakah yang munafiknya Anwar? Tipukah matanya yang lebam 1998? Tipukah pinggangnya yang sakit 1998? Jika ini bukan konspirasi jika menurut rakan Ezam ini, mengapa sampai perlu dipukul Anwar Ibrahim pada 1998?
Kita timbang-timbangkan pemikiran songsang orang Ezam ini dan UMNO/BN. Atau ini menggambarkan level pemikiran Senator Ezam, Najib dan UMNO/BN.

Monday, May 3, 2010

OSA, ISA dan Anti Rasuah: Dimana Perjuangan Senator Ezam?

Senator Ezam pernah ditahan di bawah OSA kerana pendedahan berkaitan dakwaan rasuah Rafidah Aziz. Namun yang kita mahu persoalkan hari ini adakah Senator Ezam bersetuju dengan OSA dan ISA? Apakah Ezam mahu terus bersetongkol dengan UMNO/BN pertahankan OSA dan ISA. Atau ada perubahan arah perjuangan daripada soal ini? Dimana perjuangan Ezam dalam isu OSA dan ISA. Kita tuntut penjelasan Senator Ezam. Apakah berani beliau membuat kenyataan bertentangan dengan Pak Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Ini hutang nilai integriti yang perlu dilunaskan oleh Ezam sebelum menyatakan bahawa beliau berhak menjadi senator. Jika tidak, maka hilang nilai integriti Ezam dalam memberikan rasional berkaitan perlantikannya sebagai Senator.
Senator Ezam menyatakan bahawa beliau dilantik sebagai senator kerana haknya (rujuk:http://malaysiakini.com/news/130786) serta sumbangannya melaui Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia), kita sekali lagi persoalkan, dimana laporan rasuah terlibat?, khabarnya laporan rasuah yang melibatkan Pak Menteri itu masih ada dalam simpanan Ezam? Mohon Senator Ezam dedahkan nama Menteri terbabit yang kita maklumi masih lagi menjadi anggota Kabinet Najib Tun Razak. Apa sudah jadi dengan laporan rasuah Tun Khalil Yaakob? Tatkala rasuah Rafidah Aziz, Khalil Yaakob dan Pak Menteri yang berkaitan tidak dibersihkan dan didakwa, tiba-tiba Senator Ezam melompat ke dalam UMNO? Dimana nilai anti rasuahnya? Apakah senjata serangan melawan rasuah adalah untuk menagih jawatan dalam UMNO kembali? Ini bukannya integriti.
Kita mungkin tidak perlu mempersoalkan soal cepat atau lambat Ezam dilantik Senator. Yang kita persoalkan adalah sebab musabab perlantikan. Senator Ezam menjawab kepada media bahawa perlantikannya sebagai Senator itu akan menjadi pentas terbaik baginya untuk menentang anasir jahat termasuk pengkhianat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara. Atau adakah sebab lain yang sebenar menjadi 'jasa' besar Senator Ezam kepada PM Najib?.
Apakah Ezam lupa?, siapakah yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara kalau bukan UMNO/BN. Apakah Ezam lupa dengan isu APCO-UMNO-Yahudi. Kehilangan alat pertahanan negara, enjin F5-E, kapal selam dan C4. Kenapa Ezam rela diperalatkan sepanjang 10 tahun dalam reformasi kalau beliau tahu Anwar Ibrahim ejen yahudi? Persoalannya, kenapa sekarang selepas 10 tahun Anwar Ibrahim itu pengkhianat, PKR/PR itu busuk dan UMNO/BN itu wangi dan benar? Mengapa tidak dahulu? Apakah Ezam berjuang dahulu tidak diselidiki pokok pangkal serta peribadi pimpinannya? Bukankah terlalu lambat setelah 10 tahun barulah Ezam sedar akan keburukan Keadilan dan Anwar Ibrahim, TG Nik Aziz dan PAS? Barangkali jenis orang seumpama ini dia jarang kenal dengan perjuangan, mungkin selepas 10 tahun, Senator Ezam pula akan kembali keluar UMNO/BN disebabkan UMNO/BN pula pengkhianat dan busuk bagi Ezam. Inikah namanya prinsip dan integriti?
Banyak lagi laporan rasuah ketika Ezam di GERAK yang belumpun diambil tindakan oleh BPR/SPRM terhadap Pak Menteri, kemudian Ezam kembali bersetongkol dengan mereka yang belum bersih itu. Mengapa? Apa kaitan dengan lantikan Senator? Apa kaitan dengan jawaban Ezam apabila berdepan media berkaitan alasan perlantikannya. Nampakkah kita bahawa terdapat kontradiksi antara alasan Ezam atas perlantikan Senator dengan kondisi semasa dalam UMNO/Bn yang masih penuh rasuah itu.
Sewajarnya begini jawaban Ezam kepada media, " Saya dilantik sebagai Senator kerana inilah bukti komitmen UMNO/BN terhadap agenda memerangi rasuah, ini terbukti dengan sumbangan saya melalui GERAK yang non-partisan, saya akan mengambil tanggungjawab ini untuk berusaha keras bagi memerangi rasuah tanpa memilih kes sama ada yang melibatkan BN/PR". Namun sayang sekali, jawaban Ezam bukan ini. Jawabannya ialah beliau layak, jawatan itu adalah haknya, pentas terbaik untuk lawan politik melampau.
Kita hairan?, dalam tempoh dua tahun menyertai UMNO sejak 2008, Senator Ezam tidak lagi berbicara tentang anti rasuah atas kapasiti GERAK kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak. Jadi bilakah masanya Ezam memberikan sumbangan dalam konteks perjuangan melawan rasuah ketika bersama UMNO/BN sehingga perlu PM Najib Tun Razak memberikan anugerah Senator atas tiket UMNO kepada Ezam?. Atau sebenarnya ada 'jasa' besar lain Senator Ezam kepada PM Najib?. Ezam juga tidak pernah dilantik sebagai Pengerusi Biro Integriti & Anti Rasuah UMNO/BN dalam tempoh 2 tahun dia menyertai UMNO. Maka tidak ada apa-apa platform UMNO/BN yang Ezam berbakti atas agenda anti rasuah. Gerak dahulu yang bersama Ezam kebanyakkan adalah daripada pimpinan AMK Keadilan. Kita boleh senaraikan listnya termasuk yang menjadi MP Pakatan Rakyat sekarang. Di Yayasan Generasi Muda Nusantara, Ezam tidak juga berbicara soal anti korupsi. Adalah tidak mungkin PM Najib Tun Razak memberi pengiktirafan kepada Gerak dibawah Ezam yang dahulunya diterajui oleh kebanyakkan ahli dan pimpinan AMK Keadilan. Jika begitu, maka bolehlah ahli-ahli GERAK dibawah Ezam menunggu giliran untuk dilantik menjadi Senator tidak lama lagi. Ataupun Najib Tun Razak itu jiwanya menyokong kebenaran Pakatan Rakyat?. Hairan kita, bilakah sumbangan Ezam melawan rasuah atas platform UMNO/ BN itu berlaku sehinga dianugerahi jawatan Senator?.
Senator Ezam kena ingat bahawa Dewan Negara bukan tempat mainan politik dan bawa agenda politik peribadi. Dewan Negara adalah tempat membawa Agenda Rakyat. Maka kita nantikan jawaban Senator Ezam berkaitan isu OSA, ISA dan Anti Rasuah. Apakah nadanya Ezam akan berubah mengikut nada Najib, UMNO/BN?. Atau mungkin PM Najib Tun Razak akan turut berkongsi dosa dan liabiliti bersama Ezam. Atau mungkin dalam perjuangan reformasi menentang rasuah, Senator Ezam akan membawa PM Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor ke penjara?. Dan mungkin juga Ezam akan ditendang keluar semula daripada UMNO/BN apabila agenda anti rasuah cuba dibawa oleh Ezam.

Thursday, April 29, 2010

Ezam Senator - Apa 'Jasa' kepada Najib?

Ramai yang menghubungi saya bertanya berkaitan pandangan tentang perlantikan Ezam Mohd Nor sebagai Senator. Sebagai sahabat, saya ucapkan tahniah kepada beliau. Semoga agenda Integriti dan Anti Rasuah mampu dibawa dengan baik termasuk mengambil tindakan terhadap Pak Menteri UMNO/BN yang korup. Ini saya tunggu keberanian Ezam jika dia benar mahu membawa agenda ini.
Namun persoalannya, apakah 'jasa' besar Ezam terhadap Najib? Apakah ini ada kaitan dengan tuduhan liwat kedua yang melibatkan Anwar Ibrahim? Ezam dan Najib ada jawapannya. Jarang sekali seseorang dilantik menjadi Senator tanpa ada jasa baiknya. Ada juga kalangan pembesar PR dan UMNO yang juga bersetuju bahawa 'jasa' besar Ezam kepada Najib itu adalah mungkin termasuk dalam kes tuduhan fitnah liwat kedua ini.
Perlantikan Ezam ke jawatan Senator Dewan Negara ini tidak mengejutkan saya kerana sejak tahun lepas 2009 bahkan dipermulaan kemasukan Ezam menyertai UMNO pada Mei 2008 juga, saya telahpun diberikan signal berkaitan peluang Ezam ini yang akan diberikan oleh Najib Tun Razak. Rupanya perkara besar yang dinyatakan oleh orang kuat Ezam kepada saya tatkala memberi kata dua kepada saya agar tidak menyertai PKR adalah berkenaan perlantikan Senator Ezam. Mereka mahu saya membantu Ezam dalam UMNO. Saya menolak tawaran itu. Ada lagi beberapa jawatan lain Ezam yang akan bakal menyusul kemudian selepas dilantik Senator. Inilah mungkin harga yang dibayar oleh Perdana Menteri Najib kepada Ezam.
Namun bagi saya, secara prinsipnya jawatan bukanlah yang pertama. Perjuangan berasaskan prinsip itu adalah keutamaannya. Kita harus berada dilandasan kebenaran berasaskan fakta dan petunjuk Al-Quran As-Sunnah. Sebab itu saya menolak sanggahan pihak terbabit yang mahu agar saya tidak menyertai PKR/PR. Saya mengambil keputusan untuk tidak sama sekali bersama Ezam Mohd Nor di dalam UMNO/BN kerana saya tidak melihat besarnya nilai integriti melalui landasan itu. Jika yang kita cari adalah persoalan integriti, amanah dan tanggungjawab, maka itu ada pada Pakatan Rakyat & PKR.
Ayuh anak muda kita gembleng tenaga, kita bina kerajaan beramanah dan berkebajikan untuk rakyat!

Sunday, April 18, 2010

Lagi Melompat: Lagi Ramai Anak Muda Bersama PR

-REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI PELOMPAT PARTI-
Jika semalam 7 ahli AMK termasuk tiga pemimpin AMK Shah Alam telah keluar PKR. Namun ini semua lebih menambah ramai anak muda bersama Pakatan Rakyat sama ada melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS ataupun DAP.
Alasan mereka serupa dengan alasan Bekas Ketua AMK lama mereka. Kecewa dengan sikap Anwar. PKR kononnya telah menyeleweng daripada landasan perjuangan reformasi. Rekod calon P.094 tidak teruji reformasinya dan buruk moralnya? Tetapi persoalannya sekarang, ke mana arah tuju politik mereka yang melompat ini? Adakah bersama dengan UMNO/BN?. Jika bersama UMNO/BN apakah mereka juga tidak berfikir bahawa terdapat juga calon daripada UMNO/BN termasuk yang telahpun menjadi Ahli Parlimen mempunyai akhlak dan nilai moraliti yang lebih teruk dan sehingga kini belum lagi bertaubat. Presiden MCA sudahpun terbukti terlibat dengan skandal seksnya. Boleh rujuk kepada hansard Parlimen berkaitan pertikaian ini. Apakah kayu ukur sudah teruji reformasi itu dikira dengan lamanya mereka dalam arus gelombang reformasi?. Jika ini sikap mereka, tidak ubah pemikiran mereka ini dengan paten/corak pemikiran ala-ala UMNO/BN iaitu melalui sistem feudal politik.
Percayalah bahawa jika mereka ini yang melompat kerana disebabkan mereka mempertikaikan tempoh lama mananya seseorang berada dalam reformasi, maka begitu juga mereka akan diperlakukan oleh pimpinan UMNO/BN terhadap mereka. Mereka tidak akan diberikan tempat dalam UMNO/BN. Bahkan jika Ezam diberikan kerusi bertanding sekalipun maka akan ada juga orang lama UMNO/BN akan mengungkit mengapa diberikan kerusi bertanding buat Ezam yang sekian lama selama 10 tahun apa yang tidak dicacinya kepada UMNO/BN?.
Sebab itu, ini bezanya politik Pakatan Rakyat dan PKR, sesiapapun yang berkredibiliti akan diangkat dan diberikan ruangan untuk menterjemahkan idealisme perjuangan parti menjadi realiti. Ini tidak berlaku dalam UMNO kerana para pendukung mereka mempunyai pemikiran yang serupa termasuk yang baru melompat masuk iaitu yang baru terlibat dengan UMNO/BN perlu duduk dibawah menjadi kuli dan macai terlebih dahulu. Akhirnya mereka yang melompat kerana alasan itu akan kembali ditimpakan dengan alasan itu. Sepertimana mereka tidak suka kepada orang baru di dalam PR atau PKR, maka seperti itu gerombolan melompat ini akan ditolak oleh ahli dan pemimpin UMNO/BN. Inilah akibat perjuangan individu yang tidak ada prinsip dan kefahaman. Mereka akan diperlakukan dengan sebegitu rupa oleh UMNO/BN.
Jika hanya sekadar orang lama dan menjadi pencetus reformasi bermula tahun 1998 tetapi kini mengkhianati perjuangan reformasi sebenarnya adalah orang yang tidak terkesan dengan arus reformasi itu sendiri. Mereka sebenarnya tidak faham apa itu reformasi. Bahkan REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI MEREKA. Justeru, kepada pendukung perjuangan keadilan dan kebenaran yang masih ada, teruskan perjuangan kalian. Dan panjatkan doa agar masing-masing diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus kekalkan istiqamah dalam titian sirotolmustaqim.
Hari ini Dr. Halili Rahmat telah mengumumkan keluar dengan alasan PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri. Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN. Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.
Sekali lagi kita persoalkan tentang pendirian seumpama ini. Bolehkah beliau senaraikan usaha ikhlas Najib Tun Razak itu? Ataupun tanpa sedar sebenarnya pengakuan-pengakuan mereka yang melompat parti ini sebenarnya membuka pekung bahawa mereka juga dahulu sebenarnya tidak faham dengan penglibatan mereka dalam perjuangan reformasi menuntut keadilan dan kebenaran yang lebih baik buat rakyat Malaysia. Mereka dahulunya berjuang bersama PKR kerana emosi bukan kerana kefahaman. Apabila emosi mereka tidak puas, mereka melompat. Berbeza dengan yang menyertai reformasi dengan kefahaman, kelompok ini akan lebih cekal dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat/PKR.
Hari ini rata-rata anak muda yang menyertai PKR atau PR adalah kerana sudah mula dibentuk minda perjuangan mereka berasaskan kefahaman bukannya lagi emosi. Sebab itu isu lompat parti ini sedikitpun tidak mempengaruhi anak muda termasuk mahasiswa untuk terikut sama. Jika masih ada yang berjuang kerana emosi, maka mereka juga boleh mengikuti gerombolan lompat parti ini.
Bahkan sebagai contoh, dalam isu Ezam menyertai UMNO, saya telah bertemu semula dengan kelompok anak muda dan mahasiswa yang jelas mereka menyatakan bahawa pendekatan Ezam itu hanyalah mengulang semula episod Anwar sertai UMNO yang mana akhirnya akan diketahui bahawa agenda anti rasuah Ezam tidak akan berjaya melalui UMNO. Ini telah dihidu oleh UMNO. Jika Anwar yang hebat itupun tercampak keluar daripada UMNO disebabkan membawa agenda anti rasuah, maka apatah lagi Ezam. Yang menjadi Ketua Menteri Melaka, Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga terlibat rasuah politik. Mana muka Ezam mahu bicara tegur mereka soal rasuah. Inilah antara sinisan anak muda dan mahasiswa terhadap Ezam.
Mereka mahu saya sampaikan kepada Ezam, ya hari ini saya sampaikan makluman ini kepada beliau. Namun jika bukan sebenarnya agenda anti rasuah yang dibawa Ezam dalam UMNO, apakah agenda sebenarnya? Sudah benar-benar termakan oleh dakyah pangkat dan ringgit UMNO? Ataupun Ezam bawa agenda Anwar? Adakah cita-cita Ezam mahu membawa Anwar berbaik dengan Najib? Kita tidak jelas dengan prinsip Ezam. Ya, yang dinyatakan adalah atas alasan soal Melayu, anti rasuah, PKR khianati perjuangan. Namun menyertai UMNO itu adalah tidak benar dan tepat masa ini. UMNO masih dalam keadaannya seperti rosaknya UMNO di bawah Dr. Mahathir. Mengapa dalam keadaan rosak ini mahu disertai UMNO? Ataupun yang menyertai UMNO dengan melompat beramai-ramai itu sebenarnya telah rosak. Ataupun merekalah yang sebenarnya tidak jelas dengan agenda reformasi dahulu yang bertujuan untuk kemakmuran rakyat.
Mereka melompat ke UMNO/BN adalah disebabkan tidak dapat jawatan setelah berjuang 10-12 tahun dalam gelanggang reformasi. Nasib baik Anwar tidak memilih Dr.Halili sebagai calon. Jika tidak mungkinkah akan ada lagi selepas memenangi kerusi MP melompat menjadi MP Bebas?. Wamakaruwamakarallah wallahukhairulmakiriin. Allah telah menunjukkan kebenaran dan memberikan petunjuk kepada kita bahawa amalan syura dan muafakat dalam mematuhi keputusan pimpinan ada keberkatannya. Dan ini jelas dan kes pemilihan calon PKR P.094.
Selamat berjuang buat teman anak muda dan mahasiswa di Hulu Selangor.

Wednesday, April 14, 2010

Mengapa Pakatan Rakyat Bukan UMNO?

Anak Muda Tolak UMNO/BN: Mengapa?
Pilihanraya P.094, Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada 25 April yang mana penamaan calon adalah pada 17 April 2010. Isyarat yang jelas dilihat pada malam pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Rakyat bahawa gerombolan anak muda secara majornya bersama dengan PKR/PR. Itu tidak dibandingkan lagi dengan komposisi kaum yang ternyata terserlah menyebelahi Pakatan Rakyat.
Gugatan ikon yang bernama Anwar Ibrahim terhadap UMNO/BN begitu menghantui gandingan Najib-Muhyiddin sehingga mereka terpaksa membuat mesyuarat tergempar bagi mengstruktur semula pendekatan bagi berdepan PRK di P.094.
Mengapa anak muda menolak UMNO/BN?. Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah duduk di tengah selaku mahasiswa dan di lembaga sinergi masyarakat (NGO) jelas dapat melihat dan menilai ketidakupayaan UMNO/BN untuk menterjemahkan idealisme anak muda kepada realiti semasa. Untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih baik tidak pada UMNO/BN lagi. Yang hanya ada dalam UMNO/BN adalah soal penerusan sistem feudal yang bercampur baur dengan masalah rasuah, nepotisme dan kronisme keterlaluan.
Lantas itu menyebabkan generasi muda melihat bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Perubahan dibentuk bagi menguruskan khazanah negara dengan lebih baik. Ini ada wajah harapan lebih baik yang boleh disandarkan kepada Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS & DAP.
Malaysia negara kaya dengan sumbernya. Ini boleh dibuat analogi bahawa jika hari ini rakyat sepatutnya mendapat segelas air dan sepinggan nasi percuma tetapi disebabkan kegagalan Kerajaan UMNO/BN menguruskan khazanah negara dengan baik maka hak rakyat ini tidak dapat diperolehi walaupun hanya untuk satu per empat/suku daripada air gelas dan juga sepinggan nasi itu tadi secara percuma
PENDIDIKAN
Jika hari ini sewajarnya seluruh anak muda di menara gading memperolehi biasiswa percuma namun masa kini sudah berubah. Anak muda seawal bergraduasi daripada kampus dibebankan dengan hutang hampir RM 25 ribu ringgit!. Jika ada yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat Master, ditambah lagi hutang RM 15 ribu! Belum sampai ke level Doktor Falsafah/PHD sudah berhutang sehingga RM 40 ribu ringgit pada umur lingkungan 22-25 tahun!. Ini adalah kegagalan besar kerajaan UMNO/BN dalam isu pendidikan. Itu ditambah lagi dengan isu Pengajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Isu PPSMI ini juga ada sangkutan dengan soal permainan rasuah ekonomi dan manipulasi dasar kerajaan untuk melakukan rasuah. Ini harus disiasat. Ini belum dibincangkan lagi dengan isu AUKU yang mengongkong mahasiswa. Mahasiswa wajar dibenarkan berpolitik. Rata-rata mereka sudah berumur 21 tahun dan perlu diberikan kebebasan berpolitik seperti mana termaktub dalam Perlembagaan. Kenyataan menyatakan mahasiswa akan rosak atau hilang fokus kerana terlibat dengan politik luar adalah tidak relevan.
Jika ini kenyataannya maka pendapat-pendapat seumpama itu hanyalah jelas meremehkan minda besar mahasiswa. Mahasiswa harus bangkit menyatakan hak mereka. Dan ini sedang dilakukan. Tahniah. AUKU ini perlu membenarkan mahasiswa berpolitik kerana jika halangan dibuat terhadap mahasiswa maka mahasiswa itu lebih rendah taraf dan kebebasannya daripada penagih dadah yang tidak memasuki kampus tetapi bebas berpolitik diluar jika mereka mahu. Ini analoginya.
KESELAMATAN & INTEGRITI
Isu-isu keselamatan juga sehingga kini tidak dijawab kerajaan UMNO/BN. Rakyat sudah maklum dengan isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E. Bukan satu enjin yang hilang tetapi dua. Jika persoalan pokok tentang keselamatan negara gagal dilindungi oleh kepimpinan UMNO/BN. Maka apakah lagi harapan rakyat terhadap pemimpin yang seumpama ini. Isu kapal selam bernilai RM 1.3 bilion tidak boleh menyelam. Bom C4 boleh terlepas untuk mengebom Altantuya. Kes Pembunuhan Altantuya yang misteri. Kita persoalkan satu sahaja dalam isu Altantuya ini. Kita persoalkan apakah motif dua anggota polis yang dihukum mahkamah dengan hukuman gantung itu untuk membunuh Altantuya? Ini jelas tidak logik dan kesedaran ini sudahpun ada pada ratusan ribu anak muda.
Isu rasuah bilion ringgit UMNO/BN tidak disiasat secara agresif. Isu dakwaan rasuah PR dikejar tidak bertepi. Apa sudah jadi dengan siasatan rasuah Menteri Kewangan dahulu (Sekarang Menteri di JPM)? PKFZ? Banglo Khir Toyo? Rafidah Aziz? Ali Rustam? Khairy Jamaluddin dan SCOMI? Ini semua menjadi hujah kuat anak muda untuk menolak UMNO/BN. Rasuah berskala mega perlu dibanteras.
Begitu juga dengan isu mengambil APCO sebuah syarikat yang mempunyai hubung kait dengan Israel sebagai penasihat imej Malaysia yang sehingga kini gagal dijawab kerajaan UMNO/BN secara konklusif menyebabkan kebimbangan generasi muda terhadap daya negarawan kepimpinan negara. Ini seolah-olah menjual maruah dan keselamatan negara kepada negara luar. Jika hubungan itu merupakan hubungan perniagaan barangan tidak melibatkan maklumat dan imej negara mungkin kita boleh bersetuju. Itupun dengan syarat syarikat itu tidak mempunyai hubungan dalam bentuk apa-apa jua dengan negara haram Israel. Isu Asiasoft dan PDRM juga belum dihujahkan kerajaan UMNO/BN dengan jelas sehingga menimbulkan keraguan yang membimbangkan rakyat dan anak muda. Soal keselamatan dan kedaulatan negara seolah-olah sudah tidak ada lagi pengharapan kepada kerajaan UMNO/BN jika kita meneliti satu persatu isu-isu selingkar keselamatan dalam negara. Dengan timbulnya isu ini, maka jelas kepada anak muda bahawa kepimpinan UMNO/BN sudah hilang kebijakkan untuk menguruskan negara. Mereka sudah tenggelam dalam keenakkan kuasa, rasuah dan penyelewengan. Besar untung hanya untuk pemimpin UMNO/BN, baki kecil keuntungan ekonomi negara barulah diagih kepada rakyat. Itupun kadang-kala dicuri juga. Tidak ada pengertian berkebajikan yang transparent buat masa ini daripada kerajaan UMNO/BN.
Berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Di Selangor, rakyat dapat air percuma, diberikan wang bantuan apabila berlaku kematian. Di Pulau Pinang, peruntukan untuk Agama Islam dinaikkan daripada RM 12 juta zaman UMNO/BN kepada RM 24 juta ketika Pakatan Rakyat memerintah. Kedah, negeri terbaik pengurusan auditnya. Perbelanjaan berhemah. Ini diakui oleh Ketua Audit Negara. Hasil balak Kedah meningkat kepada RM 16.4 juta bagi 1000 hektar berbanding dizaman UMNO Kedah hanya RM 3 juta hasilnya bagi keluasan yang sama.
Kelantan, 20 tahun MB Kelantan tidak pernah walau sekalipun dipalitkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan. Sistem Ladang Rakyat dan Tabung Kifalah Kelantan juga menjadi contoh dinegeri-negeri lain. Di Perak begitu juga, tanah diberikan geran kepada semua penduduk baik Melayu, Cina dan India. Pentadbiran yang adil dan berkebajikan ini menjadi pilihan generasi muda dan generasi baru Malaysia.
K-Politic & ISU LIWAT
Anak muda memilih Pakatan Rakyat dan menolak UMNO/BN kerana mereka mempunyai minda untuk berfikir. Jika tadi kita sudah membincangkan beberapa persampelan dalam isu pendidikan dan keselamatan. Maka kita terus menyatakan pandangan anak muda dalam isu K-Politic (Politik Nilai & Politik Pengetahuan). Isu liwat yang dilakukan bagi menyerang peribadi Anwar Ibrahim adalah salah terutama sekali dengan penyertaan beria-ia beberapa pemimpin dan panglima UMNO dalam mempertahankan mangsa liwat. Penglibatan mereka jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam isu tuduhan liwat ini.
Generasi muda terdidik pada hari ini tidak boleh menerima hujah tuduhan liwat yang cuba dimainkan oleh beberapa pemimpin/ahli UMNO. Sebagai contoh, cabaran Ezam terhadap Anwar yang mengatakan bahawa jika Anwar mencabar baru beliau mahu membongkar apa yang dia tahu tentang liwat.
Saya ingin berpesan kepada Sdra. Ezam, kamu jangan hanya menunggu cabaran Anwar tentang isu liwat ini. Jika kamu benar mempunyai maklumat dan bukti, maka agama telahpun awal-awal lagi mencabar kamu untuk mendedahkan perkara yang ada dalam pengetahuan kamu tentang isu liwat. Jelaslah kepada kita mungkin kenyataan Ezam itu hanyalah berbentuk cabaran politik berkepentingan kerana beliau lebih teruja dengan cabaran Anwar berbanding cabaran agama dalam isu ini. Jika ikhlas pendedahan wajar dilakukan kerana agama bukan kerana cabaran Anwar.
Sebagai contoh, saya menyertai PKR adalah kerana soal prinsip dan melihat keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan kepimpinan yang lebih baik berbanding UMNO/BN yang telah diberi peluang 52 tahun memerintah Malaysia dan sehingga kini tidak nampak usaha-usaha reformasi parti mereka yang berjaya melainkan hanya tinggal slogan sahaja. Saya juga melihat Anwar Ibrahim sebagai tokoh perubahan itu bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Namun ingin dijelaskan bahawa saya tidakpun menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana dijemput oleh Anwar Ibrahim. Tetapi saya memilih untuk membuat keputusan itu adalah hasil daripada rasa tanggungjawab terhadap agama dan negara. Saya menilai prinsip perjuangan Pakatan Rakyat (PKR, PAS & DAP). Saya juga menimbang tara antara akhlak dan integriti pimpinan PR yang jauh lebih baik berbanding UMNO/BN. Kita wajar memilih pemimpin yang terbaik dan amanah dikalangan kita. Saya sendiri hairan apakah bentuk prinsip integriti dan moraliti yang ada pada UMNO/BN masa kini yang menyebabkan Ezam, rakan-rakan dan beberapa ex-MP Pakatan Rakyat terlompat-lompat kesana?.
Dalam isu liwat, Ezam melakukan pendekatan sebaliknya. Dia memilih untuk menunggu cabaran Anwar Ibrahim berbanding mendedahkan perkara itu atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat dan dilakukan demi agama. Sikap beliau ini boleh kita istilahkan sebagai oportunis politik. Ataupun sebenarnya Ezam tidakpun mempunyai apa-apa maklumat yang tepat mengenai isu liwat ini. Hanya mendengar percakapan dan pengakuan demi pengakuan yang tidak ada substancenya.
Hari ini kita berpolitik dengan fakta dan hujah. Hujah dilawan hujah. Persoalan dijawab dengan nilai fakta dan pengetahuan. Sudah pasti mana-mana parti yang mengamalkan pendekatan politik pengetahuan (Politik Pendidikan), insyallah rakyat akan bersama. Sesiapa yang mengamalkan politik fitnah, kumpulan itu akan ditolak rakyat buat masa kini dan hari mendatang.
Berdasarkan ini, soal pendidikan, keselamatan, kebajikan, politik murni dan pengetahuan. Sudah pasti anak muda memilih untuk kali ini dan seterusnya bersama-sama dengan Harapan Baru dan Kerajaan Perubahan/Pakatan Rakyat lantas menolak UMNO/BN. Insyallah.

Thursday, April 8, 2010

Ezam Masih Tidak Menjawab?

Semalam saya dimaklumkan oleh seorang rakan wartawan bahawa melalui sebuah ceramah dan telahpun disiarkan oleh Utusan Malaysia bahawa Ezam telahpun memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu kerana telah membela Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya yang pertama. Melalui laporan itu Ezam telah menyatakan bahawa dahulu beliau tidak mengetahui perangi sebenar Anwar dan sekarang barulah beliau tahu.
Namun saya ingin supaya perkara ini dijelaskan oleh Ezam. Apakah perkara sebenar atau perangi sebenar Anwar Ibrahim yang dimaksudkan oleh Ezam yang dahulu beliau tidak tahu tetapi sekarang setelah menyertai UMNO beliau membuat pengakuan baru mengetahui perkara sebenar? Apakah sebenarnya Ezam mahu menjawab cabaran saya dengan menyebut dengan jelas bahawa beliau percaya Anwar Ibrahim seorang peliwat? Saya kira Ezam masih lagi berlapik dalam menjelaskan perkara ini. Dan selagi mana ini tidak dijelaskan dengan terang. Saya percaya bahawa Ezampun masih lagi 50-50 dalam mempercayai tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar Ibrahim. Ketulenan UMNO Ezam juga boleh diragui!. Ini seterusnya memberi makna bahawa tuduhan liwat ini tidak relevan untuk dijadikan hujah bagi menentukan soal prinsip perjuangan kerana ianya tidak ada kepastian. Apatah lagi kes ini dalam perbicaraan.
Jika inipun tidak ada kepastian daripada Ezam, maka hujah menyatakan penghijrahan ke UMNO itu adalah mungkin kerana tuduhan liwat ini boleh kita sifatkan sebagai tidak ada asas serta kerelevanannya. Ramai dikalangan anak muda termasuk mahasiswa di kampus yang sempat saya bertemu jelas menyatakan ketidaksetujuan dengan hujah kepercayaan kepada kes liwat sebagai asas untuk menukar haluan politik kepada UMNO/BN. Malah dengan kes liwat yang dituduh terhadap Anwar Ibrahim ini menyebabkan sokongan anak muda, mahasiswa dan golongan middle class beralih arah terhadap Pakatan Rakyat. UMNO/BN dilihat seolah berada dalam sirkulasi konspirasi politik tuduhan liwat kedua terhadap Anwar Ibrahim.
Saya masih lagi menanti sebutan jelas Ezam berkaitan soal ini. Apakah perkara sebenar itu yang dimaksudkan olehnya? Insyalah saya juga akan menjawab kembali jika Ezam berani menyatakan perkara itu. Wassalam.

Thursday, April 1, 2010

Ke Arah Merakyatkan Integriti

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, sempena tahun 2010 ini saya telah diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk membuka sebuah lagi blog baru bagi mengetengahkan pandangan dan persepsi berkaitan isu-isu semasa, integriti dan Good Governance. Apatah lagi apabila telah membulatkan tekad dan iltizam untuk terjun ke dalam lapangan politik setelah hampir setahun setengah menerajui Gerak Malaysia (Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi) sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Tahun 2010 ini saya mulakan dengan pengumuman untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 24 Januari 2010 khususnya Parti Keadilan Rakyat yang dilihat lebih menjamin masa depan rakyat Malaysia.
Semoga dengan ini mampu untuk kita turut serta bersama-sama dalam gelombang kebangkitan rakyat termasuk generasi muda ke arah menggerakkan usaha merakyatkan integriti bagi menjamin Good Governance yang holistik.
Sirru ala barakatillah.