Saturday, May 29, 2010

Ezam Mencabar bukan Dicabar? Melatah dalam menjawab, Politik Sumpah-Sumpah

Ezam Mohd Nor dalam rangkaian medianya sudah mula menjawab cabaran saya tempoh hari kepada beliau. Masih berani lagi Senator Ezam ke mahkamah untuk menonjol diri dalam kes fitnah liwat kedua ini. Dengan jelas menyatakan bahawa beliau percaya Anwar Ibrahim seorang peliwat. Namun hujahan Ezam tidak ada substancenya.
Ezam sendiri mengaku bahawa dia bukan mangsa liwat. Jadi apakah royanan Ezam terhadap Anwar? Beliau bukan mangsa? Ezam lebih lama bekerja dengan Anwar. Tidak menjadi mangsapun? Jadi apakah masalah sebenar Ezam dengan Anwar? Apakah jawatan tidak cukup baik untuk Ezam ketika bersama Anwar? Jawatan Senator yang Ezam dapat hari inipun kerana Anwar. Banyak sewajarnya terima kasih Ezam kepada Anwar. Ezam mengaku berjumpa Saiful dalam tempoh 2 jam. Ezam juga mengaku bahawa dalam tempoh itu beliau tidak sempat merancang konspirasi? Namun ini hanya baru satu pertemuan yang kita maklumi. Apakah nanti akan didedahkan pertemuan-pertemuan yang lain antara Ezam dan Saiful berserta buktinya? Apakah Ezam hanya menjadi kambing hitam untuk Najib supaya PM tidak perlu kemahkamah? Mungkin ini cagaran jawatan Senator. Ya ataupun tidak?
Pertemuan dikatakan Ezam hanya dua jam? Dan Ezam mengakui bahawa itu pertemuan pertamanya dengan Saiful. Ezam mengakui tidak pernah kenal dengan Saiful dan berhati-hati dengannya. Antara Ezam dengan Saiful, siapakah lebih lama bertugas dengan Anwar Ibrahim? Ezam lebih lama, jadi mengapa Ezam perlu menunggu hadirnya seorang bernama Saiful untuk menguatkan diri berani tampil bercakap tentang isu liwat ini? Mengapa selepas 9 tahun bersama PKN/PKR barulah Ezam keluar parti?. Mengapa tidak dalam tempoh dua tahun sebagai Setiausaha Politik Anwar? Sepatutnya dalam tempoh 2 tahun itulah Ezam keluar meninggalkan Anwar. Kenapa pada tahun 2007 baru mengkhianati Anwar & PKR? Ini jelas bahawa keyakinan Ezam hanya bersandar pada seorang yang bernama Saiful yang dia sendiri tidak kenali lantas terus berani Senator ini bercakap bahawa Anwar Ibrahim seorang peliwat. Ezam percaya kepada seseorang yang dia sendiri baru kenali. Dalam masa yang sama Ezam juga bercerita tentang kepercayaannya terhadap fitnah liwat ini adalah bersumberkan maklumat daripada orang lain. Maknanya Ezam sendiri tidak pernah melihat perbuatan tersebuat? Jadi bagaimana boleh percaya fitnah ini? Bolehkah percaya dakwaan orang lain yang tidak rapat dengan Anwar berbanding Ezam sendiri yang mengaku orang kuat & rapat dengan Anwar pun tidak pernah dijadikan mangsa. Ezam sendiri mengaku dia tidak pernah mengalaminya. Atau Ezam merasakan dia tercicir kasih sayang Anwar kepadanya? Mungkin Anwar lebih sayang orang lain berbanding Ezam, lantas Ezam merajuk membawa diri. Sudah penat berjuang untuk Anwar 9 tahun, tetapi tertinggal perahu. Rupanya ini gaya Pendekar AMK dahulu? Janganlah lagi diikuti oleh para pendukung Keadilan yang lain.
Ezam hari ini menjawab tuduhan bahawa beliau terlibat konspirasi kerana dicabar. Dicabar oleh siapa? Ezam perlu jawab? Siapa yang mencabar kamu? Anwar Ibrahim tidak pernah mencabar beliau berkaitan isu ini? Tapi yang memulakan cabaran adalah Ezam sendiri yang menggesa Anwar dan Wan Azizah untuk bersumpah. Selepas mendapat jawatan Senator, lagi rancak Ezam mencabar sumpah dan bersumpah. Sampai Najib pun terikut-ikut bersumpah. Sumpah sudah jadi budaya baru politik UMNO/BN. Pembawa penyakit ini adalah Ezam. Saya kira orang UMNO/BN sendiri ada yang tidak setuju. Tetapi apakan daya, yang bawa penyakit adalah seorang Senator. UMNO/BN daripada menjadi Parti Melayu menjadi Parti Sumpah-Sumpah. Insyallah, anak muda akan tolak Parti Sumpah-Sumpah UMNO.
Ezam percaya kepada Saiful kerana kononnya Saiful berani berjumpa ulamak dan juga mungkin bersumpah. Tidakkah Ezam lupa, beliau juga dahulu kuat bersumpah akan lawan habis-habisan UMNO/BN. Tetapi hari ini apa jadi dengan Sumpah Keramat Ezam? Sumpah sudah memakan diri? Begitu juga dengan sumpah Saiful. Ezam mungkin mudah lupa tentang ini. Ezam lupa nasihat Mahathir.
Ezam minta Anwar bersumpah, apakah Ezam sudah lupa dengan dakwaan khalwat Najib Tun Razak di Port Dickson. Berani ataupun tidak Ezam mendesak Najib PM untuk turut serta bersumpah bagi menafikan kes khalwat itu? Bukankah ini dahulu tuduhan Ezam kepada Najib? Jika Najib tidak terlibat, Ezam perlu bersumpah pula menjunjung Al-Quran agar dapat membersihkan Najib daripada tuduhan khalwat di PD itu. Kita tunggu Senator Ezam bersumpah pula untuk bela bos barunya PM Najib Tun Razak. Jangan lupa mohon juga Najib bersumpah di Masjid Persekutuan seperti Saiful bagi menafikan tuduhan dalam kes Altantuya.
Bersumpah ini barangkali penting untuk Ezam, jika nanti Anwar pula bersumpah, apakah Ezam mahu patah balik dengan Anwar? Dimana Ezam mahu letak muka pada Najib? Kadangkala kita harus berfikir sebagai orang bijak, tidak semua perkara selesai hanya dengan sumpah. Apakah makna sumpah jika hanya untuk kepentingan diri dan fitnah. Politik sumpah atau politik sesumpah ini wajar dikuburkan dalam arus politik demokrasi yang adil demi kebenaran. Politik anak muda pada hari ini adalah politik yang berasaskan pengetahuan. K-Politic adalah pendekatannya. Mohon Senator Ezam bahas tentang sumpah ini di Dewan Negara jika penting sangat untuk dengar Anwar Ibrahim bersumpah.

Monday, May 24, 2010

KESATUAN KEARAH KEBANGKITAN: MEMBINA GENERASI PERUBAHAN UNTUK MALAYSIA

Salam, Kongres Parti Keadilan Rakyat akan diadakan pada 28-30 Mei 2010 akan datang di Kota Bharu, Kelantan. Didoakan agar Kongres PKR berjalan lancar dengan semangat islah, reformasi dan niat melakukan perubahan demi keadilan dan kebenaran.

Namun yang wajar kita cermati adalah persoalan sumbangan dan gerak kerja anak muda dalam PKR. Ini enjin yang perlu diperkemaskan agar seluruh kepakaran teman-teman AMK khususnya yang telah lama bersama PKR disatukan. Anak muda harus bersatu. KESATUAN kita adalah KEARAH KEBANGKITAN. Gerak kerja sedia ada perlu dilipat gandakan. Tahniah atas gerakan massa yang telah dilaksanakan oleh teman-teman anak muda AMK.

Ayuh bersama MEMBINA GENERASI PERUBAHAN UNTUK MALAYSIA yang lebih baik untuk semua. Peranan ada ditangan anak-anak muda. Kebangkitan ini perlu digembleng bersama tenaga berpengalaman dalam PKR, Pakatan Rakyat (PAS & DAP), kumpulan reformis, NGO, pimpinan ranting, cabang dan pusat serta angkatan muda.

Selamat Berkongres untuk semua Perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya teman-teman Angkatan Muda Keadilan. Salam hormat & salam perjuangan.

Wednesday, May 12, 2010

Dakwaan Fitnah Liwat 2: Rela atau Tidak, Kredibiliti Saiful Dipertikai?

Laman-laman web pro-UMNO/BN dengan jelas memberikan hujah berkaitan 377B atau 377C itu tidak penting, tetapi yang penting kata mereka 'masuk tetap masuk'. Tidak penting liwat paksa atau suka sama suka, tetapi kata blogger pro-UMNO/BN adalah masuk tetap masuk.
Namun yang ingin kita persoalkan hari ini adalah persoalan kredibiliti saksi. Jika Saiful Bukhari mengatakan liwat dilakukan secara paksa, maka siapa pula yang mengatakan secara rela? Apakah Peguam Negara, Polis atau Siapa?. Ini perlu dijelaskan. Saksi mengatakan yang berlainan dengan pertuduhan di mahkamah?
Jika kenyataan saksi tidak konsisten, apakah ini mungkin menunjukkan bahawa yang mahu mendakwa Anwar Ibrahim atas kesalahan ini adalah orang lain? Siapakah mereka? Adakah mereka individu yang ditemui Saiful Bukhari sebelum laporan polis dan pemeriksaan hospital dibuat? Ini kerana tuduhan saksi tidak tepat dengan 'charge' yang dibuat. Pertuduhan adalah pertuduhan yang cacat dan salah. Jarang sekali jika berlaku sesuatu tuduhan oleh mangsa berlakunya pertuduhan yang salah.
Jika seseorang kehilangan unta, maka yang didakwa dimahkamah adalah pencuri unta. Namun saksi memberikan kenyataan bahawa beliau mengetahui siapa individu pencuri kambing pula. Lain yang dituduh, lain pula kenyataan di mahkamah. Ini sungguh menghairankan kita.
Kita persoalkan siapa yang sebenarnya mahu mendakwa Anwar Ibrahim? Apakah ini pendakwaan konspirasi politik? Tidak nampak konsistensi kenyataan Saiful Bukhari dengan pertuduhan terhadap Anwar Ibrahim. Ini kata peguam, apa pula kata kita sebagai rakyat dan anak muda?.

Mufti & Majlis Fatwa Kebangsaan Didesak Keluarkan Fatwa Judi Piala Dunia

Para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan didesak agar mengeluarkan fatwa secepat mungkin bagi menangani isu judi bola sepak yang dihalalkan kerajaan sempena Kempen Piala Dunia 2010.
Kita memaklumi bahawa fatwa hanya dikeluarkan apabila sesuatu masalah itu tidak mempunyai dalil langsung daripada Al-Quran & As-Sunnah. Namun desakan dibuat agar ada suatu bentuk kenyataan rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti berkaitan hal ini. Jangan hanya bekas mufti seperti Dr. Asri Zainal Abidin sahaja yang berani menyatakan hujah haramnya diberikan lesen berjudi bola.
Walaupun mungkin ini dikatakan hanya untuk orang bukan Islam, tetapi dimanakah status negara Islam yang kononya dicanang oleh Dr. Mahathir dahulu. Apakah ini makna Satu Malaysia oleh PM Najib Tun Razak. Kita kira perjudian bola sepak ini juga ditolak oleh agama-agama lain selain Islam.
Mohon kenyataan rasmi daripada para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk kenyataan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Baharom berkaitan kelulusan kerajaan kelmarin 11 Mei 2010 mengeluarkan lesen judi kepada Kumpulan Berjaya sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan.

Tuduhan Fitnah Liwat 2: Petanda Menunjukkan Mungkin Ada Formulasi Konspirasi Terancang

Jika pada hari pertama sambungan perbicaraan tuduhan fitnah liwat kedua ke atas Anwar Ibrahim pada 10 Mei dengan jelas Saiful Bukhari Azlan menyatakan adanya pertemuan dengan PM Najib Tun Razak dan ACP Rodhwan Mohd Yusof (sekarang SAC 1) Ketua Polis Melaka sekarang pada 24 Jun 2008 (Selasa) iaitu 2 hari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku pada 26 Jun 2008 (Khamis).
Tetapi semalam (12 Mei 2010), hari ketiga sambungan perbicaraan kita dikejutkan lagi dengan kenyataan Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa Saiful Bukhari juga ada bertemu Senator Ezam pada malam 27 Jun 2008 sehingga keesokkan paginya iaitu selepas kejadian liwat berlaku iaitu sehari sebelum laporan polis dan hospital dibuat.
Saiful Bukhari Azlan juga mengakui bahawa ada menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada pagi 25 Jun 2008 sehari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku. Kedua-dua Rodhwan dan Musa pula, adalah 'watak utama' semasa perbicaraan Anwar pada 1998 yang menyaksikan Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Persoalannya sekarang, mengapa Saiful Bukhari Azlan mahu bertemu dengan semua individu ini sebelum laporan polis dan hospital dibuat? Laporan polis dan pemeriksaan hospital dibuat hanya pada 28 Jun 2008 (Sabtu). Saiful Bukhari Azlan mengaku bertemu PM Najib Tun Razak, ACP Rodhwan dan Senator Ezam Mohd Nor sebelum daripada 28 Jun 2008. Untuk apa?
Apakah ini menjadi petanda jelas bahawa wujudnya formulasi konspirasi terancang untuk tuduhan liwat kedua ini? Kesemua mereka yang dijumpai dan dihubungi Saiful Bukhari Azlan dimaklumi sebagai musuh politik Anwar Ibrahim. Mengapa perlu mereka semua ini ditemui Saiful Bukhari? Apa harapan Saiful Bukhari kepada mereka? Mengapa tidak terus sahaja Saiful Bukhari membuat laporan polis dan hospital tanpa bertemu PM Najib, Rodhwan dan Ezam?. Apakah jaminan atau ganjaran yang diperlukan oleh Saiful Bukhari? Bagaimana Saiful Bukhari Azlan mempunyai akses langsung kepada individu-individu ini? Kita sama-sama nilaikan.
Mungkinkah ini ada kaitannya dengan perlantikan Ezam Mohd Nor sebagai Senator? Atau ini, kenyataan di mahkamah oleh Saiful Bukhari Azlan adalah jawaban Ezam Mohd Nor kepada saya atas cabaran untuk mendedahkan apakah beliau pernah bertemu Saiful Bukhari? Apakah agaknya nasihat dan peranan Senator Ezam Mohd Nor dalam berdepan dakwaan Saiful Bukhari bahawasanya dia diliwat oleh Anwar Ibrahim? Kita masih menunggu juga jawaban daripada Senator Ezam Mohd Nor.

Tuesday, May 11, 2010

Isu Liwat Kedua: Satu Lagi Konspirasi Untuk Alih Perhatian Rakyat Terhadap Isu Rasuah UMNO/BN & Salah Urus Tadbir Negara

Hari ini 11 Mei 2010, dua hari telah berlalu perjalanan sambung bicara kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim. Saksi goyang dalam menyatakan pendirian. Jarang sekali anak muda gugup untuk berdepan cabaran melainkan ini isu fitnah dan konspirasi.
Saiful jelas goyang untuk dua hari perbicaraan ini. Apakah mungkin mahkamah menggugurkan kes ini kelak. Yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat bahawa isu fitnah liwat kedua dan isu lompat parti yang berlaku adalah usaha-usaha secara terancang UMNO/BN untuk menang besar dalam Pilihanraya Ke-13 dan merampas kembali Selangor, Kedah dan Pulau-Pinang.
Dikhabarkan dana sebanyak RM 76.7 bilion mungkin akan dibawa masuk untuk menjadi dana Pilihanraya UMNO/BN hasil daripada duit-duit rasuah yang di'parking' diluar negara. Hanya menteri-menteri pakar UMNO sahaja yang mengetahui bagaimana untuk membawa duit-duit haram daripada luar negara yang menjadi simpanan mereka.
Rakyat jangan tergugat dengan isu yang dibawa UMNO/BN. Fokus kita adalah membentuk kerajaan amanah dan berkebajikan. Pemimpin bersih akan menjadi pilihan rakyat. Rasuah para menteri wajar disiasat segera.
Isu kehilangan enjin jet pejuang F5-E bernilai RM 50 juta, Kapal selam scorpene tidak boleh menyelam yang melibatkan rasuah RM 3.7 bilion. APCO dibayar RM 20 juta yang mana boleh menjejaskan keselamatan negara, isu keselamatan oleh PDRM, kes tembakan melulu sebahagian anggota PDRM dan lain-lain kes rasuah politik yang belum selesai yang melibatkan ramai pemimpin besar UMNO/BN seperti Rafidah Aziz-Saham Bumiputera, KJ-ECM-Libra, Najib-Kapal Selam-Altantuya, Muhyiddin-Johor dan lain-lain.
Ini isu-isu sebenar rakyat yang melibatkan soal kebajikan, keselamatan dan keamanahan pemimpin. Isu-isu fitnah liwat kedua dan lompat parti adalah usaha terancang UMNO/BN secara strategik untuk menumpaskan Pakatan Rakyat dalam PRU-13. RAKYAT AWAS dengan UMNO/BN.
BERSATU BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Kenyataan Songsang SD Johari Rakan Senator Ezam

Bagi kita songsang sungguh kenyataan oleh rakan Senator Ezam, SD Johari. Barangkali ada ilmu tertinggal diajarkan oleh Senator kepada SD Johari ataupun ini merupakan satu arahan bosnya untuk menjawab gesaan kita agar Ezam menjelaskan apakah beliau pernah berjumpa Saiful ataupun tidak? Apakah Ezam percaya Anwar seorang peliwat. Boleh rujuk kenyataan SD Johari yang percaya bahawa Anwar Ibrahim seorang homoseksual.
Ketika ini, hanya orang bawahan Ezam seperti SD Johari yang berani tampil menyatakan beliau percaya Anwar melakukan perkara itu dan Maha Munafik. Tetapi ini mungkin hujah songsang para pelompat parti apabila hujan duit datang mencurah dan lebat. Apakah mereka faham akan makna munafik? Hujah Dr. Yusuf Qardhawi jelas memperingatkan kita agar tidak membuat tuduhan zina pada orang lain tanpa membawa empat orang saksi. Adakah SD Johari ada 4 saksi yang melihat kejadian itu? SD Johari begitu yakin dengan hujah songsangnya.
SD Johari menuduh Anwar Ibrahim Maha Munafik, namun kita persoalkan apakah selepas 10 tahun baru SD mahu mengesahkan bahawa Anwar seorang peliwat dan Maha Munafik? Tidak lain tidak bukan individu seperti SD Johari hanyalah orang bawahan Ezam yang mengikut bosnya. SD tidak pernah disentuh Anwar tetapi tiba-tiba hilang arah untuk bersama UMNO/BN. Ini menunjukkan ketidakcerdikan mereka. 10 tahun berlalu, barulah kemudian mengaku merasa tertipu. Najib yang berdolak dalih dalam membuat pengakuan di TV3 tentang berjumpa Saiful, apakah itu tidak Maha Munafik? Sd Johari pandai memberikan gelaran kepada orang lain mungkin bagi mewakili Senator Ezam. Jadi apa pula gelaran untuk Najib dan Rosmah? Rasanya tidak berani SD Johari memperkatakan tentang ini kerana dia sekarang berada dirumah UMNO/BN.
Tuduhan liwat ini adalah semata-mata usaha untuk mengalihkan pandangan pandangan rakyat terhadap isu rasuah UMNO/BN serta salah urus tadbir negara.
Mengapa tidak cerdik untuk lebih awal mengetahui bahawa Anwar Ibrahim seorang munafik? Ataupun mereka kini telah digelapkan dengan wang untuk bersama UMNO/BN?. Jangan harap untuk mendapat Senator pula SD Johari selepas mengutuk Anwar Ibrahim. Orang bawahan Ezam ini juga perlu ingat bahawa Senator Ezam dapat jawatan Senator kerana Anwar Ibrahim, tanpa Anwar Ibrahim siapalah mahu memberi jawatan Senator kepada Ezam. Najib pun tidak akan beri jawatan Senator kepada Ezam melainkan ada jasa 'besar' yang perlu dilakukan atau telah dilakukan bagi menguburkan politik Anwar Ibrahim.
Apakah yang munafiknya Anwar? Tipukah matanya yang lebam 1998? Tipukah pinggangnya yang sakit 1998? Jika ini bukan konspirasi jika menurut rakan Ezam ini, mengapa sampai perlu dipukul Anwar Ibrahim pada 1998?
Kita timbang-timbangkan pemikiran songsang orang Ezam ini dan UMNO/BN. Atau ini menggambarkan level pemikiran Senator Ezam, Najib dan UMNO/BN.

Monday, May 3, 2010

OSA, ISA dan Anti Rasuah: Dimana Perjuangan Senator Ezam?

Senator Ezam pernah ditahan di bawah OSA kerana pendedahan berkaitan dakwaan rasuah Rafidah Aziz. Namun yang kita mahu persoalkan hari ini adakah Senator Ezam bersetuju dengan OSA dan ISA? Apakah Ezam mahu terus bersetongkol dengan UMNO/BN pertahankan OSA dan ISA. Atau ada perubahan arah perjuangan daripada soal ini? Dimana perjuangan Ezam dalam isu OSA dan ISA. Kita tuntut penjelasan Senator Ezam. Apakah berani beliau membuat kenyataan bertentangan dengan Pak Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Ini hutang nilai integriti yang perlu dilunaskan oleh Ezam sebelum menyatakan bahawa beliau berhak menjadi senator. Jika tidak, maka hilang nilai integriti Ezam dalam memberikan rasional berkaitan perlantikannya sebagai Senator.
Senator Ezam menyatakan bahawa beliau dilantik sebagai senator kerana haknya (rujuk:http://malaysiakini.com/news/130786) serta sumbangannya melaui Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia), kita sekali lagi persoalkan, dimana laporan rasuah terlibat?, khabarnya laporan rasuah yang melibatkan Pak Menteri itu masih ada dalam simpanan Ezam? Mohon Senator Ezam dedahkan nama Menteri terbabit yang kita maklumi masih lagi menjadi anggota Kabinet Najib Tun Razak. Apa sudah jadi dengan laporan rasuah Tun Khalil Yaakob? Tatkala rasuah Rafidah Aziz, Khalil Yaakob dan Pak Menteri yang berkaitan tidak dibersihkan dan didakwa, tiba-tiba Senator Ezam melompat ke dalam UMNO? Dimana nilai anti rasuahnya? Apakah senjata serangan melawan rasuah adalah untuk menagih jawatan dalam UMNO kembali? Ini bukannya integriti.
Kita mungkin tidak perlu mempersoalkan soal cepat atau lambat Ezam dilantik Senator. Yang kita persoalkan adalah sebab musabab perlantikan. Senator Ezam menjawab kepada media bahawa perlantikannya sebagai Senator itu akan menjadi pentas terbaik baginya untuk menentang anasir jahat termasuk pengkhianat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara. Atau adakah sebab lain yang sebenar menjadi 'jasa' besar Senator Ezam kepada PM Najib?.
Apakah Ezam lupa?, siapakah yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara kalau bukan UMNO/BN. Apakah Ezam lupa dengan isu APCO-UMNO-Yahudi. Kehilangan alat pertahanan negara, enjin F5-E, kapal selam dan C4. Kenapa Ezam rela diperalatkan sepanjang 10 tahun dalam reformasi kalau beliau tahu Anwar Ibrahim ejen yahudi? Persoalannya, kenapa sekarang selepas 10 tahun Anwar Ibrahim itu pengkhianat, PKR/PR itu busuk dan UMNO/BN itu wangi dan benar? Mengapa tidak dahulu? Apakah Ezam berjuang dahulu tidak diselidiki pokok pangkal serta peribadi pimpinannya? Bukankah terlalu lambat setelah 10 tahun barulah Ezam sedar akan keburukan Keadilan dan Anwar Ibrahim, TG Nik Aziz dan PAS? Barangkali jenis orang seumpama ini dia jarang kenal dengan perjuangan, mungkin selepas 10 tahun, Senator Ezam pula akan kembali keluar UMNO/BN disebabkan UMNO/BN pula pengkhianat dan busuk bagi Ezam. Inikah namanya prinsip dan integriti?
Banyak lagi laporan rasuah ketika Ezam di GERAK yang belumpun diambil tindakan oleh BPR/SPRM terhadap Pak Menteri, kemudian Ezam kembali bersetongkol dengan mereka yang belum bersih itu. Mengapa? Apa kaitan dengan lantikan Senator? Apa kaitan dengan jawaban Ezam apabila berdepan media berkaitan alasan perlantikannya. Nampakkah kita bahawa terdapat kontradiksi antara alasan Ezam atas perlantikan Senator dengan kondisi semasa dalam UMNO/Bn yang masih penuh rasuah itu.
Sewajarnya begini jawaban Ezam kepada media, " Saya dilantik sebagai Senator kerana inilah bukti komitmen UMNO/BN terhadap agenda memerangi rasuah, ini terbukti dengan sumbangan saya melalui GERAK yang non-partisan, saya akan mengambil tanggungjawab ini untuk berusaha keras bagi memerangi rasuah tanpa memilih kes sama ada yang melibatkan BN/PR". Namun sayang sekali, jawaban Ezam bukan ini. Jawabannya ialah beliau layak, jawatan itu adalah haknya, pentas terbaik untuk lawan politik melampau.
Kita hairan?, dalam tempoh dua tahun menyertai UMNO sejak 2008, Senator Ezam tidak lagi berbicara tentang anti rasuah atas kapasiti GERAK kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak. Jadi bilakah masanya Ezam memberikan sumbangan dalam konteks perjuangan melawan rasuah ketika bersama UMNO/BN sehingga perlu PM Najib Tun Razak memberikan anugerah Senator atas tiket UMNO kepada Ezam?. Atau sebenarnya ada 'jasa' besar lain Senator Ezam kepada PM Najib?. Ezam juga tidak pernah dilantik sebagai Pengerusi Biro Integriti & Anti Rasuah UMNO/BN dalam tempoh 2 tahun dia menyertai UMNO. Maka tidak ada apa-apa platform UMNO/BN yang Ezam berbakti atas agenda anti rasuah. Gerak dahulu yang bersama Ezam kebanyakkan adalah daripada pimpinan AMK Keadilan. Kita boleh senaraikan listnya termasuk yang menjadi MP Pakatan Rakyat sekarang. Di Yayasan Generasi Muda Nusantara, Ezam tidak juga berbicara soal anti korupsi. Adalah tidak mungkin PM Najib Tun Razak memberi pengiktirafan kepada Gerak dibawah Ezam yang dahulunya diterajui oleh kebanyakkan ahli dan pimpinan AMK Keadilan. Jika begitu, maka bolehlah ahli-ahli GERAK dibawah Ezam menunggu giliran untuk dilantik menjadi Senator tidak lama lagi. Ataupun Najib Tun Razak itu jiwanya menyokong kebenaran Pakatan Rakyat?. Hairan kita, bilakah sumbangan Ezam melawan rasuah atas platform UMNO/ BN itu berlaku sehinga dianugerahi jawatan Senator?.
Senator Ezam kena ingat bahawa Dewan Negara bukan tempat mainan politik dan bawa agenda politik peribadi. Dewan Negara adalah tempat membawa Agenda Rakyat. Maka kita nantikan jawaban Senator Ezam berkaitan isu OSA, ISA dan Anti Rasuah. Apakah nadanya Ezam akan berubah mengikut nada Najib, UMNO/BN?. Atau mungkin PM Najib Tun Razak akan turut berkongsi dosa dan liabiliti bersama Ezam. Atau mungkin dalam perjuangan reformasi menentang rasuah, Senator Ezam akan membawa PM Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor ke penjara?. Dan mungkin juga Ezam akan ditendang keluar semula daripada UMNO/BN apabila agenda anti rasuah cuba dibawa oleh Ezam.