Wednesday, June 23, 2010

Gerakan Mahasiswa & Anak Muda : Gerakan Independent tetapi berpihak


Justify Full
Beberapa sorotan perkongsian Gerakan Mahasiswa. Sudah sememangnya anak muda/mahasiswa bebas terlibat dengan NGO dan parti-parti politik dalam menggerakan massa dengan agenda kebenaran dan keadilan. Ini tidak menjadi kesalahan kerana hak dan kebebasan yang digazetkan dalam Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan.


Gerakan anak muda termasuk mahasiswa adalah gerakan yang bebas, neutral dan non-partisan. Tetapi sebenarnya jika diteliti, wajah-wajah Gerakan Mahasiswa dan Anak Muda adalah gerakan yang berpihak. Mereka mempunyai kecenderungan untuk berpihak. Realitinya Gerakan Mahasiswa dan Gerakan Anak Muda akan berpihak kepada perjuangan Kebenaran & Keadilan.

Sunday, June 20, 2010

Pakatan Rakyat: Perubahan Perjuangan Politik kepada Perjuangan Rakyat

Kembalinya Pakatan Rakyat kepada perjuangan rakyat perlu untuk kita pastikan berlaku. Jika ini tidak berlaku maka pertempuran dalam medan Pilihanraya Umum Ke-13 nanti adalah langsung menjadi pertempuran politik total.
Pakatan Rakyat wajar menyorot kembali kemenangan memberangsangkan pada PRU 10 (1999) dan PRU 12 (2008) adalah disebabkan kita membawa perjuangan rakyat. Permainan politik total akan menjerumuskan Pakatan Rakyat dalam permainan politik regim UMNO/BN yang teruk sejak 52 tahun merdeka.
Jika mahu dibandingkan pendekatan politik 2-3 tahun PR (selepas 8 Mac) dengan 52 tahun politik UMNO/BN maka sudah tentu ada beberapa kelebihan UMNO/BN daripada aspek manipulasi jentera kerajaan dan kewangan secara salah.
Sebab itu perlu untuk dikembalikan perjuangan Pakatan Rakyat kepada 'mode' dan modus operandi perjuangan rakyat. Ini penting untuk dilaksanakan. Kita tidak mahu PR terlamun lena dalam birokrasi politik. Rebutan jawatan politik, rebutan kontrak dan manipulasi kewangan wajar dihindar daripada berlaku seburuk yang dilakukan UMNO/BN tatkala merompak wang rakyat.
Anak muda lebih berminat dengan Pakatan Rakyat yang berjuang dalam hal-hal rakyat. Anak muda tidak gemar dengan perjuangan politik total. Politik hanya landasan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat. Pemimpin hanya sekadar pengurus kepada harta negara untuk diagihkan kepada rakyat secara saksama.
Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat membincangkan lebih mendalam persoalan perjuangan rakyat ini. Kita bimbang, takut-takut Pakatan Rakyat terperangkap dalam perjuangan politik total semata berbanding perjuangan rakyat. Ini harus dibahaskan.

Tuesday, June 8, 2010

Mampukah Pakatan Rakyat jadi Kerajaan Bersih? UMNO/BN bagaimana?

Pakatan Rakyat perlu memfokuskan penerangan terhadap isu-isu semasa, Good Governance dan Negara Berkebajikan untuk rakyat. Banding beza diantara pencapaian Pakatan Rakyat dalam tempoh 2 tahun lebih ini berbanding UMNO/BN yang sudah hampir 52 tahun memerintah Malaysia. Laras bahasa penerangan itu perlu mengikut daerahnya. Bandar lain caranya, kampung lain caranya. Namun infonya tetap sama. Pakatan Rakyat telahpun 'deliver' dengan baik kepada rakyat baik daripada aspek kebajikan mahupun kepimpinan beramanah. Kita boleh semak pencapaian ini dengan merujuk kepada laporan Audit Negara dan info semasa negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (Kelantan, Kedah, Pulau-Pinang & Selangor).

Namun terdapat juga juak-juak UMNO/BN yang masih yakin jika diletakkan songkokpun UMNO/BN boleh menang. Apakah ini masih mungkin berlaku untuk Pilihanraya ke-13? Mungkinkah watak 'songkok' akan menang? Pandangan ini diberikan oleh pemuka-pemuka UMNO bagi kawasan FELDA dan tegar Melayu. Mereka pemuka UMNO sebut letak 'songkok' masih boleh menang. Hujah mereka, lihat Hulu Selangor? Benarkah itu petunjuknya?

Apakah anak muda bersetuju dengan fenomena politik seumpama ini. Dalam kebanyakkan sembang-sembang santai anak muda. Sudah mula ada mempertikaikan bahkan mempersoalkan apakah mampu Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan yang lebih bersih berbanding UMNO/BN? Ini pertikaian yang timbul akibat noda-noda lompat parti oleh ahli Parlimen/ADUN PR dan termasuk juga bekas pimpinan PR yang jelas memualkan untuk anak muda. Generasi muda tidak selesa dengan gaya politik tidak berprinsip. Pendekatan konstruktif dan kritis dengan prinsip menjadi pilihan generasi baru.

Begini jawaban kita, Pakatan Rakyat dipersoalkan tentang kemampuannya pada masa hadapan untuk menjadi Kerajaan Bersih dan lebih baik berbanding UMNO/BN, namun wajib kita sedar bahawa UMNO/BN hari ini telahpun menjadi Kerajaan Korup & Tidak Bersih. Pilihan yang ada pada anak muda adalah lebih baik memilih bersama dan mendukung Pakatan Rakyat untuk membina masa depan Kerajaan Bersih berbanding bersama UMNO/BN yang telahpun kotor pada hari ini.