Monday, November 15, 2010

AGENDA ANAK MUDA MALAYSIA: SUATU PERKONGSIAN MASA DEPAN

1. Setelah menyatakan pendirian untuk bertanding bagi jawatan NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Malaysia, ramai teman-teman yang menghubungi dan memberikan respond yang positif terhadap keputusan ini. Saya amat menghargai pandangan, doa dan dukungan sdra/sdri.

2. Ada teman-teman yang bertanya soal halatuju dan gagasan idea yang bakal dibawa bersama AMK sekiranya terpilih untuk taklifan dan tanggungjawab ini. Menyedari hakikat bahawa gagasan idea dan perlaksanaan sebenarnya penting untuk diberikan penekanan oleh calon-calon Majlis Pimpinan AMK, maka ini perlu menjadi perkongsian umum dalam keluarga besar AMK khususnya sebagai tanda persediaan AMK menggalas harapan rakyat Malaysia.

3. Gagasan idea dan usaha mengimplimentasikan idealisme dalam kerangka gerakan AMK adalah usaha komplimentari yang perlu wujud antara calon-calon, baik yang akan menang ataupun tewas. Atas dasar itu, perkongsian pintar membawa suara sebenar anak muda adalah langkah bijak dalam mendepani gerakan anak muda yang berjaya menambat hati majoriti kepelbagaian segmen anak muda.

4. Segmen anak muda yang berbeza ini memerlukan pendekatan sentuhan yang sofistikated dan terkini namun bersifat anjal, mudah, ringkas dan fleksibal dalam perlaksanaannya. Kepelbagaian rencam anak muda Malaysia perlu diraikan dan diuruskan dengan cekap.

5. Untuk itu kita melihat adalah perlu demi masa depan generasi anak muda Malaysia, maka AMK perlu:

a. Membawa seluruh generasi muda secara holistik ke arah keterlibatan dalam proses pembentukan negara, kewibawaan kerajaan, ‘Good Governant’ yang berintegriti dan berkebajikan.
b. Membina generasi muda yang peka terhadap isu keadilan sosial, integriti kehakiman dengan juga melihat persampelan ‘Keadilan Untuk Anwar’ sebagai aspek inspirasi perjuangan kebenaran dan keadilan yang mempunyai sentuhannya yang tersendiri. Isu transparensi badan-badan penting dan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institusi Kehakiman perlu menjadi fokus bicara integriti dan anti rasuah generasi muda.
c. Isu-isu kemiskinan rakyat khususnya pengangguran anak muda perlu diberikan perhatian oleh gerakan AMK dan anak muda umumnya. Isu gaji minimum dan peluang pekerjaan anak muda perlu menjadi desakan AMK khususnya dinegeri-negeri Pakatan Rakyat untuk diterjemahkan dalam bentuk polisi-polisi kerajaan negeri. Isu ruang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sarjana muda/sarjana/phd dengan mendapat biasiswa perlu diketengahkan AMK untuk penambahbaikan oleh kerajaan pusat/negeri. Ini termasuk bebanan hutang tinggi oleh graduan akibat lambakan hutang PTPTN. Kekangan mahasiswa berpolitik melalui AUKU juga perlu ditegaskan pendirian AMK dengan cadangan Draf Undang-Undang yang lebih baik.
d. Aspek kualiti perkhidmatan kesihatan untuk anak muda perlu diberikan fokus khususnya di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
e. Suara Demokrasi anak muda dengan gagasan Parlimen Anak Muda Malaysia perlu diketengahkan secara berperingkat dan hikmah. Pandangan dan Agenda Anak Muda seluruh Malaysia termasuk Agenda Anak Muda Borneo perlu menjadi keprihatinan AMK untuk diteliti dan diambil tindakan. Proses Pilihanraya yang bersih dan memilih pimpinan kerajaan dan parti yang berwibawa adalah perlu menjadi antara agenda demokrasi AMK yang digerakkan secara sinergi.
f. Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu bertindak dalam nadi gerakan massa rakyat menerusi semangat bertindak sebagai ‘Majlis Hisbah’ atau ‘Ombudsman Council’ yang mampu menjadi institusi ‘check & balance’ khususnya dalam persoalan ‘real issue’ seperti aspek pembangunan pendidikan, sosio-budaya-politik dan ekonomi.
g. Angkatan Muda Keadilan perlu menjadi ‘trend-setter’ dalam penentuan sikap anak muda Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, sosio-budaya, ekonomi dan politik.
h. AMK perlu dilihat muda remaja, sporty, fleksibal, profesional, progresif dan pragmatik dalam menjadi kiblat imej anak muda Malaysia. Latihan Anggota/Kepimpinan dan Pembinaan Kepakaran/Tenaga Pakar AMK perlu dirangka dengan kemas dalam keadaan mengambilkira nilai pemikiran, kebolehan, komitmen, keberanian dan emosi anggota AMK Malaysia khususnya dan umumnya anak muda Malaysia.
i. AMK perlu mengukuhkan rangkaian antarabangsa khususnya rangkaian anak muda serantau di peringkat Nusantara.

Secara tuntasnya, ini adalah bentuk perkongsian yang mahu saya bicarakan serta bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana Ketua AMK & pimpinan organisasi AMK yang bakal memenangi pemilihan 2010 pada kali ini.

Sekian, Salam Hormat & Salam Perjuangan buat semua.

Mohd Nazree Mohd Yunus,
Calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia 2010

ANWAR TENANG, UMNO CEMAS, RAKYAT BIJAK

Keadilan semakin mendapat tempat dalam perhatian media perdana. Bicara massa perdana Utusan, Berita Harian, TV1 dan TV3 terpaksa untuk mengulang tulis dan tayang konflik pemilihan KEADILAN. Anwar terus diserang melalui isu Pemilihan tidak telus. Ini tanda Anwar Ibrahim dan KEADILAN masih relevan dalam landskap politik tanah air. Semuanya termasuk media perdana, ulama’,pimpinan UMNO prihatin terhadap perkembangan memberangsangkan parti KEADILAN ini. Pimpinan UMNO/BN sehingga tidak tidur malam hanya untuk memikirkan tentang KEADILAN berbanding untuk melawan rasuah membarah dalam parti dan kerajaan teraju mereka.

Akhirnya media perdana akur, daripada mereka terus menjadi jurucakap UMNO/BN dengan slogan 1Malaysia yang tidak diendah rakyat, masalah kepimpinan UMNO/BN yang lebih lemah dan rasuah yang membarah, lebih baik mereka memaparkan isu, perjalanan, masa depan serta kepimpinan KEADILAN bagi menaikkan rating popular akhbar dan siaran mereka. Isu Pakatan Rakyat baik kepimpinan, pemilihan dan gerak kerja menjadi perhatian umum.
Ini suatu perkembangan yang menarik dan baik untuk KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT. Media Perdana terpaksa cari makan dengan isu KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT. Lihat sahaja isu banjir di Kedah, serangan memburukkan imej MB Kedah begitu teruk dilakukan dengan tohmahan bahawa MB tidak turun kawasan banjir. Ini tanda UMNO/BN cemas. Daripada Kedah hingga ke Selangor diserangan habis-habisan PR. Namun rakyat bijak menilai. Jika tatkala KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT jadi pembangkang, media mendapat nikmat ‘cari makan’ dengan isu pihak ini, maka lebih untung jika KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT menjadi kerajaan, sudah pasti banyak isu kebajikan, masa depan negara yang lebih baik disajikan KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT untuk memberikan ruang berita lebih positif untuk massa perdana.

Perspektif bicara kita mudah, jika Anwar Ibrahim atau KEADILAN tidak memberi cabaran kepada UMNO/BN, sudah pasti tidak perlu untuk dihujankan fokus serangan imej terhadap parti ini. Namun, disebabkan KEADILAN menjadi antara faktor penentu masa depan Pakatan Rakyat dan dilihat semakin kuat apatah lagi keberanian untuk menjalankan proses pemilihan ‘satu ahli satu undi’, maka mahu tidak mahu UMNO/BN melihat ini sebagai kanser yang akan menyerang saraf mereka. KEADILAN lebih berani menterjemahkan demokrasi yang lebih terbuka untuk anggotanya dan umumnya rakyat. Ini dilihat baik untuk rakyat. Ini kelebihan Anwar, beliau cukup tenang berdepan dengan semua ujian ini. Rakyat menilai kekuatan pemimpin seumpama ini. Ternyata sekali lagi UMNO/BN cemas.

Pilihanraya akan berlangsung pada tahun hadapan, terpaksa UMNO/BN seberapa segera menyerang faktor penyatu Pakatan Rakyat, iaitu faktor Anwar Ibrahim dan parti KEADILAN. Serangan perlu fokus, Anwar Ibrahim mesti diserang kanan dan kiri. Baik menggunakan undang-undang, fitnah, barisan MP lompat, pimpinan UMNO dan media massa.

Pimpinan UMNO nampaknya kurang berani menyerang Anwar Ibrahim secara langsung kerana mereka tahu Anwar dan Pakatan Rakyat dipihak yang benar atau mereka sengaja berhelah dengan menggunakan barisan MP lompat dan media perdana untuk terus-terusan mengkritik secara keras. Ini untuk menjaga nama baik UMNO, yang busuk nama barisan MP lompat dan media perdana. Lihat, tatakala UMNO/BN hilang sokongan politikpun mereka sanggup mempergunakan orang lain termasuk media dengan merosakkan imej media perdana yang sepatutnya menjadi agen makluman polisi kerajaan untuk rakyat dan bebas kepada menjadi agen fitnah parti UMNO/BN. Mungkin media perdana tidak salah, yang salahnya beberapa pimpinan UMNO/BN yang secara salah member tekanan terhadap media perdana untuk terus memburukan imej Anwar Ibrahim dan PR.

Anwar Ibrahim cukup tenang berdepan semua ujian ini. Bermula daripada dibuang daripada kerajaan 12 tahun sudah, fitnah liwat dan hari ini parti yang diasaskannya juga diserang bagi memburukkan imej. Serangan dibuat tanda UMNO/BN cemas dan terpaksa membuat ini semua bagi mengekalkan kuasa menjelang Pilihanraya Umum ke 13 tahun hadapan. Najib Tun Razak demam mendengar masa depan KEADILAN yang lebih baik ini.

Rakyat lebih bijak menilai, anak muda membuat konklusi bahawa lagi diserang KEADILAN, ini bermakna parti ini kian penting dalam arena politik negara dan punyai masa depan yang baik. Kerana media juga melihat masa depan KEADILAN yang baik untuk mentadbir Malaysia. Sebab itu mereka memberikan fokus kepada jatuh bangunnya PKR. Maka anggota parti akan melihat siapa yang melatah dan siapa yang bersedia secara matang untuk memimpin Malaysia.

Media yang telus akan dapat melihat beza banding 53 tahun UMNO/BN memerintah dengan hanya 2-3 tahun Pakatan Rakyat mentadbir di Kedah, Kelatan (20 tahun), Pulau-Pinang dan Selangor dengan baiknya, berkebajikan,telus dan komited untuk rakyat. Rakyat begitu faham akan mainan media jika ada yang berat sebelah, akhirnya serangan media perdana yang keterlaluan akan diterjemahkan sebagai keprihatinan rakyat untuk bersama membaiki, menyokong dan memberikan harapan masa depan untuk KEADILAN dan PAKATAN RAKYAT.

Wednesday, November 10, 2010

Alhamdulillah, Dikurniakan Zuriat Kedua: Istifadah Proses Kelahiran

Salam, Alhamdulillah, pada jam sekitar 8.30 PM, 10 Nov 2010, saya dan isteri dikurniakan zuriat yang kedua, Nurul Hana' Wafa, di Hospital Kg. Baru. Terima kasih buat ahli keluarga dan teman-teman seperjuangan yang mendoakan keselamatan dan kemudahan. Didoakan keberkatan buat semua. Abangnya Muhammad Anwar Zaidan sempat datang menjenguk adik barunya. Gembira bertambah ahli keluarga.
Tatkala agak padat dengan taklifan parti dan pemilihan, diuji dengan waktu untuk bersama disisi isteri bagi melahirkan zuriat. Alhamdulillah, keberkatan masa atas Allah, maka ada kelapangan waktu untuk bersama memberi sokongan buat isteri.
Benar sungguh bahawa kekuatan wanita melahirkan anak tiada tandingan. Mungkin lelaki disitupun boleh tewas. Mudahan-mudahan zuriat yang dilahirkan mampu untuk menyumbang sesuatu buat perjuangan agamanya dan negara. Perit jerih ibu mengandung, sudah pasti kita perlu bermuhasabah bagi memastikan kita juga meletakkan istiqamah atas jalan perjuangan kebenaran dan keadilan yang sebenar sebagai khalifah dimuka bumi Allah.
Meletakkan perjuangan menegak kebenaran dan menentang kebatilan adalah taklifan agung yang perlu ditunaikan setiap insan dengan menginsafi proses kelahiran manusia. Sekali lagi saya kagum dengan kekuatan wanita melahirkan anak, apatah lagi melihat isteri berjuang lebih hebat berbanding kita di medan politik. Terima kasih yang teramat saya ucapkan kepada isteri tercinta atas kecekalan untuk melahirkan zuriat. Inilah kekuatan wanita yang tidak tertanggung oleh lelaki.
Sama-sama kita renungkan istifadah proses kelahiran kita sebagai manusia agar kita lebih berfikir menjadi pejuang tulen berasaskan kefahaman dan nilai prinsip yang benar, khusus buat teman-teman anak muda pewaris negara. Salam hormat dan Salam Perjuangan buat semua. Wassalam.