Tuesday, July 12, 2011

ANALISIS BERSIH 2.0 : Sisi Pandang Anak Muda

ANGKA HIMPUNAN

Tanggal 9 Julai 2011 merupakan tanggal keramat bagi anak Malaysia selepas pasca merdeka. Himpunan hampir 50K-70K (angka menurut media) rakyat menuntut pilihanraya yang adil. Sudah pasti ini angkanya. (Angka menurut polis 5000-6000 orang peserta himpunan). Bandingan boleh dibuat dengan jumlah tangkapan yang diumumkan pihak polis seramai 1,667 tahanan sudah pasti memberikan jangkaan yang sungguh luar biasa terhadap angka sebenar rakyat yang bersama mendukung BERSIH 2.0. Jika diambil kira jumlah tangkapan hanya melibatkan 1% daripada jumlah demonstrator, sudah pasti angka sebenar HIMPUNAN BERSIH 2.0 boleh dianggar sebagai mencecah 165,000 rakyat marhaen bagi seluruh pecahan kumpulan yang terbahagi akibat sekatan dan hambatan oleh pihak polis. Jika diambil kira tahanan mewakili 2% sekalipun, himpunan tetap boleh diberikan angka seramai 83,000 umat Malaysia sudah berhimpun.


HIMPUNAN PELBAGAI KAUM & AGAMA


Ternyata provokasi oleh Patriot & Perkasa tidak lagi menjadi hambatan politik sempit pasca milenium. Anak muda dan rakyat Malaysia hari ini menolak politik sempit perkauman yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Himpunan BERSIH 2.0 kali ini lebih melambangkan citra Malaysia. Ini suatu bukti dan 'signal' kepada UMNO/BN bahawa rakyat sudah semakin matang dalam mendepani politik partisan pada hari ini. Partisan tidak lagi menjadi suatu dogma atau menghalang untuk rakyat menyatakan kebenaran dan menjunjung keadilan. RAKYAT MENOLAK POLITIK UGUTAN DAN PERKAUMAN.



PENGLIBATAN ANAK MUDA & MAHASISWA - Politik 'Sporting'


Anak muda & mahasiswa mula mendukung kuat tuntutan keadilan & pembersihan pilihanraya. Generasi muda sudah mula melihat bahawa peranan sistem dalam negara perlu dengan segera diperbetulkan. HIMPUNAN AMAN adalah cara anak muda & mahasiswa. Fitrah ini jika ditolak oleh mana-mana pihak baik dipihak kerajaan atau pembangkang maka anak muda & mahasiswa akan bangkit menyatakan rasa hak kebebasan mereka termasuk dalam memberikan pandangan dalam urusan pengurusan masa depan mereka. Rata-rata yang kita temui ketika BERSIH 2.0 adalah anak muda pelbagai lapisan. Walaupun ada dikalangan mereka yang pertama kali menyertai demontrasi, namun terukir diwajah mereka wajah suci anak muda yang tidak gentar dengan bom asap demi menzahirkan serta menegakkan keadilan. ANAK MUDA MENDUKUNG POLITIK KONSTRUKTIF, PROAKTIF & 'SPORTING'. Anak muda benci akan politik yang tidak 'sporting'. Polis yang bertindak tidak 'sporting' dalam mengendalikan HIMPUNAN AMAN akan dilihat rakus dan membuta tuli dalam mempertahankan pemerintah. Politik fitnah, tipu, ganas, egois dan zalim tidak bertempat adalah politik yang tidak 'sporting' dan mudah sahaja dibenci anak muda kebanyakkan walaupun pada asalnya mereka tidak berminat dengan politik partisan.



PERGOLAKKAN DALAMAN UMNO/BN


DS Najib pada suatu ketika menyatakan BERSIH 2.0 boleh menggunakan stadium sehingga menyindir penganjur untuk menjerit sehingga hilang suara. Namun akhirnya DS Najib yang tutup suara apabila penganjur menyahut cabaran DS Najib untuk berhimpun di stadium walaupun ramai yang membantah. Seolah-olah ada konspirasi dalaman UMNO/BN untuk memberikan suatu bentuk kontradiksi terhadap pandangan DS Najib tentang penggunaan stadium. Halangan penggunaan stadium dibuat dengan keterlibatan banyak pihak termasuk oleh PDRM yang di bawah 'monitoring' KDN Hishamuddin. Apakah ini sabotaj daripada Hishamuddin terhadap DS Najib? Mungkinkah ada pakatan diantara TS Muhyiddin dengan Hishamuddin untuk membakar amarah rakyat terhadap DS Najib? Ini mungkin bukti pergolakkan dalaman UMN/BN yang terjelma akibat kerakusan kuasa, siapa yang mahu jadi PM segera selepas Najib? Hishamuddin atau Muhyiddin? Jika Muhyiddin boleh menekan Pak Lah untuk naik segera selaku TPM, apakah tidak mungkin modus operandi yang sama dilakukan oleh Hishamuddin dalam mensabotaj Najib selaku PM.


PEMUDA UMNO/BN LESU - KEBANGKITAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT


Kemunculan Patriot tidak lain sekadar mengesahkan bahawa Pemuda UMNO/BN sudah hilang fungsi. Dahulunya pemuda gagah berani sudah hilang. 'Body' politik pemuda UMNO sudah rosak imejnya sehingga KJ sendiri selaku Ketua Pemuda UMNO malu untuk menggunakan platform Pemuda UMNO sebagai wadah perjuangan. Ini berbeza dengan Pemuda Pakatan, baik KEADILAN, PAS dan DAP yang berani kehadapan dengan wadah parti perjuangan mereka. Mereka turut bersama BERSIH yang memperjuangkan Sistem Pilihanraya yang lebih Bersih & Adil. Yang kononnya berani dalam pemuda UMNO/BN hanya pemuda mamak menjadi patriot. Khairy KJ terpaksa mengakui bahawa cara anak muda adalah agresif. Ada dua kemungkinan untuk KJ bertindak menubuhkan Patriot, pertama sekadar menyatakan protes terhadap Najib. Tertubuhnya Patriot dan berdemo 'haram' oleh mereka mengesahkan lagi bahawa PRESIDEN UMNO tidak punyai kekuatan dalam mengendalikan barisan pemudanya. Nasihat Hishamuddin selaku Naib Presiden UMNO kepada KJ tidak dihiraukan.


Kedua, KJ mungkin sebagai pelakon tambahan untuk mencetuskan ketegangan bagi merencatkan HIMPUNAN BERSIH 2.0. Ternyata kumpulan Patriot tidak mendapat sambutan sekadar dihadiri 250-300 peserta yang mungkin berbayar upahnya. Lagi malu Ibrahim Ali dengan PERKASAnya yang hilang batang hidungnya ketika himpunan 9 Julai. KJ sedar tempatnya tidak ada dalam UMNO/BN mendatang. Razali Ibrahim pun tidak bersama KJ walaupun dia sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Ini ternyata 'open secret' konflik dalaman pemuda UMNO/BN. Apakah ini bentuk pimpinan muda harapan rakyat?Tidak ada solidariti?


POLITIK BARU


HIMPUNAN BERSIH 2.0 menjadi cerminan bentuk bagaimana politik baru yang harus direncana. Polis DiRaja Malaysia PDRM wajib belajar lebih lagi daripada negara-negara maju bagaimana mengendalikan HIMPUNAN AMAN. Jika ini tidak dilakukan maka sia-sia untuk kita jika mahu bicara soal Negara Maju menjelang tahun tertentu. Demokrasi harus dibuka. Pihak pemerintah jangan bimbang. Jika kamu melaksanakan pentadbiran Good Governance yang baik, usah gusar akan sokongan rakyat. Demokrasi mengajar kita bersedia untuk menang dan bersedia untuk kalah. Namun persediaan untuk menang wajar dilandasi dengan akar perjuangan dan menjungjung prinsip kebenaran & keadilan. POLITIK BARU RAKYAT MALAYSIA BERASASKAN SISTEM NILAI DAN BUDAYA YANG HOLISTIK.

Sunday, July 3, 2011

Ketua AMK Negeri Sembilan dipanggil polis

SEREMBAN – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus, dipanggil polis untuk memberi keterangan di Cawangan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor, di Balai Polis Senawang dekat sini, kira-kira jam 3 petang semalam. Beliau berkata, soal-siasat selama kira-kira 45 minit itu adalah berhubung kandungan ceramah disampaikannya di Sungai Merab, Sepang, Selangor, 22 Jun lalu.


“Sebahagian kandungan ceramah saya pada tarikh berkenaan turut menyentuh tentang perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih). “Soal-siasat berjalan secara baik dan saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di luar perkarangan Balai Polis Senawang dekat sini, semalam.


Bersih: Ketua AMK Negeri Sembilan dipanggil beri keterangan

(Oleh: Norutul Ilham)


NEGERI SEMBILAN: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Nazree Yunus hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kandungan ceramahnya di Sepang yang menyentuh isu perhimpunan Bersih 2.0.


Selain beliau, beberapa lagi pimpinan Pakatan Rakyat turut dipanggil iaitu Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Cabang KEAdilan Sepang, Borhan Aman Shah.


Menurut Nazree, beliau menerima panggilan itu awal pagi tadi oleh seorang anggota polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintendan (ASP), Hairul.


Pegawai polis berkenaan meminta beliau datang jam 3 petang untuk diambil keterangan di Balai Polis Senawang, dipercayai berhubung ceramah yang dianjurkan di Kampung Sungai Merab, Sepang pada 22 Jun lalu.


Katanya, beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan amaran polis kepada pengerusi majlis supaya tidak menyentuh langsung mengenai perhimpunan 9 Julai ini.


“ASP Hairul telefon saya pagi tadi untuk meminta saya datang memberi keterangan berhubung ceramah di Sepang, pada 22 Jun lalu.


“Saya khuatir ianya ada kaitan dengan ceramah pada malam itu yang banyak menyentuh mengenai Bersih,” kata Nazree ketika dihubungi Keadilandaily.


“Pada malam tersebut, polis sendiri ada memberi amaran kepada pengerusi majlis supaya tidak sebut pasal Bersih,” katanya.


Sementara itu, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ketika dihubungi berkata, polis menghubungi beliau pagi semalam untuk memberi keterangan.


Namun katanya, disebabkan kesibukan kerana program KEADILAN, beliau meminta pihak polis supaya datang ke pejabatnya di Kota Kemuning, Rabu depan untuk mengambil keterangan.


Sebelum ini dalam majlis ceramah yang sama, seorang ahli AMK, Razali Abd Ghafar ditahan polis kerana menjual T-shirt Bersih. Beliau dibawa oleh dua orang polis ke Balai Polis Abu Bakar Baginda, namun dilepaskan tidak berapa lama kemudian.