Tuesday, August 3, 2010

SPRM perlu buktikan kredibiliti: Dakwa Menteri Rasuah & Usul Pindaan Perlembagaan

Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kasim Mohamed yang menyarankan agar Menteri Kabinet mengisytiharkan harta perlu disusuli dengan tindakan pendakwaan jika terbukti terdapat keraguan terhadap pemerolehan harta oleh pimpinan/menteri kerajaan.

Namun yang ingin kita bahaskan adalah apakah kekebasan pendakwaan itu ada pada SPRM? Ini kerana menurut AKTA SPRM 2009, Seksyen 58 jelas menunjukkan bahawa kuasa pendakwaan terletak dibawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya dibawah bidang kuasa SPRM.

Saya mengesyorkan supaya kerajaan melalui Parlimen meminda Seksyen 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dalam mahkamah.

Saya cukup optimis untuk melihat ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara. Justeru, untuk sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dalam memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah.

Langkah SPRM untuk mendesak agar Menteri Kabinet mengisytiharkan harta tidak akan membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara. SPRM terpaksa menunggu kebenaran atau penurunan kuasa oleh Peguam Negara sebelum mana-mana kes rasuah didakwa.

Mekanisme pengisytiharan harta juga perlu melibatkan ahli keluarga Menteri Kabinet. Ini supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh. SPRM perlu mendakwa mana-mana Menteri yang terlibat rasuah walaupun sedang memegang jawatan. Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya didakwa di mahkamah.

Mungkin selepas ini juga, ahli-ahli politik berjawatan tinggi dan berkuasa dalam kerajaan pusat/negeri juga wajar mengisytiharkan harta mereka. Ini mungkin langkah seterusnya yang wajar disemak oleh SPRM. Tanpa pendakwaan yang serius terhadap kes-kes berprofil tinggi, maka kredibiliti SPRM agak sukar untuk dipulihkan.