Tuesday, February 28, 2012

Isu Israel: AMK saran Najib- Anwar debat secara ilmiah

Isu Israel: AMK saran Najib- Anwar debat secara ilmiah


KUALA LUMPUR 21 Feb: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyarankan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat secara ilmiah berhubung isu Palestin-Israel.

Naib Ketua AMK, Nazree Mohd Yunus berkata, debat tersebut wajar diadakan bagi menangani kemelut soal hubungan dengan Israel dan isu Palestin yang kian rancak dibicarakan.

“Saya melihat bahawa penyelesaian terbaik bagi rakyat, khususnya anak-anak muda ialah dengan mendengar sendiri hujahan daripada pihak yang terlibat, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Debat ilmiah ini boleh dianjurkan bagi membuka lembaran politik baru yang dimaksudkan pada hari ini dengan berasaskan sistem nilai dan juga ‘K-Politic’,” kata beliau.

Katanya lagi, kedua-dua tokoh berkenaan juga patut diberikan peluang untuk mengutarakan pandangan melalui perdebatan atau forum terbuka yang disiarkan secara langsung kepada rakyat.

Justeru beliau mencadangkan debat itu menyentuh beberapa aspek seperti masa depan hubungan diplomatik dengan Israel dan Palestin, pengunduran Israel dari Baitulmaqdis, pengiktirafan kepada Baitulmaqdis dan hubungan dagang antara Malaysia-Israel.

“Beberapa isu ini boleh dikupas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat menilai daripada sudut semasa dan prospek masa depan.

“Ini adalah penting bagi memberikan gambaran masa depan hubungan diplomatik dan antarabangsa Malaysia pada masa akan datang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment