Thursday, February 16, 2012

Keluarga menteri juga perlu isytihar harta

Link Malaysianinsider :http://www.themalaysianinsider.com/mobile/bahasa/article/keluarga-menteri-juga-perlu-isytihar-harta-kata-bekas-ketua-gerak/

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak) mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa meluas manakala anggota keluarga Kabinet turut diwajibkan isytihar harta mereka.

Mohd Nazree Mohd Yunus menyifatkan langkah SPRM untuk mendesak para menteri mengumumkan harta tidak akan berhasil selagi Akta SPRM 2009 tidak dipinda.

Beliau berkata Seksyen 58 akta itu mengatakan bahawa kuasa pendakwaan terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukan bidang kuasa SPRM.

“Usaha ini tidak akan membawa perubahan besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara.

“Jadi SPRM terpaksa menunggu kebenaran atau penurunan kuasa oleh Peguam Negara sebelum mana-mana kes rasuah didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Mohd Nazri mengesyorkan supaya Parlimen meminda Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dalam mahkamah.

“Saya cukup optimis untuk melihat semua Ahli Parlimen sama ada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat boleh bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara.

“Justeru saya harap pada sidang Parlimen akan datang usul ini perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dalam memberikan kuasa kepada SPRM bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah,” katanya.

Selain itu, Mohd Nazree juga mencadangkan mekanisme pengistiharan harta itu juga perlu melibatkan ahli keluarga Menteri Kabinet.

“Ini supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh dan SPRM perlu mendakwa mana-mana Menteri yang terlibat rasuah walaupun sedang memegang jawatan.

“Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya didakwa di mahkamah,” katanya.

Tambahnya, ahli politik yang berjawatan tinggi dan berkuasa dalam kerajaan juga wajar mengisytiharkan harta mereka.

“Ini mungkin langkah seterusnya yang wajar disemak oleh SPRM. Ini kerana tanpa pendakwaan yang serius terhadap kes-kes berprofil tinggi, maka kredibiliti SPRM agak sukar untuk dipulihkan,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed bersetuju dengan pandangan peserta persidangan undang-undang bahawa anggota Kabinet wajar mengisytiharkan harta kepada umum.

Abu Kassim dilaporkan bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

Namun Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata cadangan meminta semua menteri mengisytiharkan harta kepada umum wajar diserahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan sama ada perlu dilakukan atau tidak.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri berkata cadangan untuk meminta semua Menteri Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment