Monday, January 20, 2014

Kenyataan Media - Jangan Heret Isu Flash Mob Menjadi Isu Perkauman

Kenyataan Media Naib Ketua AMK Malaysia 20 Jan 2014

Jangan Heret Isu Flash Mob Menjadi Isu Perkauman

AMK menolak tindakan mana-mana pihak yang cenderung untuk mengheret isu flash mob bantahan kenaikan harga barang oleh YB Lee Khai Loon, ADUN Machang Bubuk menjadi isu perkauman.

Flash mob tersebut adalah suatu bentuk bantahan yang terbuka buat semua pihak untuk dilakukan. Apatah lagi flash mob tersebut adalah berkaitan ekspresi bantahan anak muda dan rakyat terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup . Kita tidak mempunyai masalah dengan usaha demontrasi balas yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan membantah flash mob tersebut kerana ini adalah hak mereka untuk berhimpun, menyatakan pandangan dan membantah. Namun kita tidak boleh bersetuju jika demontrasi yang diadakan bersifat rasis-perkauman dan ganas.

Adakanlah bantahan secara aman dan bukannya diheret isu flash mob bantahan kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini menjadi isu perkauman. Adalah lebih baik jika pemimpin Umno dan juga NGO terlibat turut bersama rakyat mengadakan bantahan dalam isu kenaikan kos hidup rakyat berbanding cuba untuk membawa isu flash mob ini sebagai isu perkauman. Kita rakyat dan anak muda harus lebih peka terhadap isu keperluan rakyat berbanding cuba untuk mengeruhkan suasana dengan mengheret isu flash mob ini menjadi isu perkauman.

AMK menggesa agar pihak berkuasa menyiasat pihak-pihak yang berkenaan termasuk pemimpin UMNO dan NGO terlibat jika membangkitkan isu perkauman termasuk mengungkit ancaman peristiwa 13 Mei yang boleh mengancam keharmonian antara kaum.Kita anak muda boleh duduk berkongsi pandangan secara rasional demi masa depan rakyat Malaysia.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Naib Ketua AMK Malaysia
Ketua AMK N.Sembilan

Kenyataan Media Naib Ketua AMK Malaysia 20 Jan 2014

Kenyataan Media Naib Ketua AMK 20 Jan 2014

Kerajaan Wajar Kawal Kenaikan Harga Barang Secara Konstruktif

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengalu-alukan penubahan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang mana perkara seumpama ini telah dicadangkan lebih awal oleh AMK dalam serahan memorandum Gerakan Aduan Dan Demokrasi Rakyat (Nadi) kepada KPDNKK pada jumaat minggu lepas.AMK telah mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Kos Rakyat yang mana perlu melibatkan pelbagai pihak sama ada Kerajaan ataupun kumpulan peniaga,pembekal,pengilang,NGO,Parti Politik dan juga rakyat sebagai pengguna.AMK bersedia memberikan pandangan secara konstruktif dalam isu menangani kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang.

Penurunan serta kawalan harga barang boleh dikawal pada peringkat ini dengan pengumuman penurunan harga minyak.Maka AMK menyarankan agar Kerajaan dapat mengumumkan penurunan harga minyak sebagai sebahagian langkah awal dalam mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat
 
Ketua Pemuda Umno wajar membuat desakan praktikal dalam kabinet berkaitan kenaikan harga barang berbanding sekadar hanya membuat lawatan melawat Pasar Borong yang mana kita sudah sedia maklum berkaitan kenaikan harga barang dan perkara ini sudah jelas membebankan rakyat.Kapasiti beliau sebagai Menteri Kabinet wajar digunakan seoptimum mungkin dalam memberikan padangan dan tindakan bernas dalam isu hambatan kos sara hidup rakyat.

Kerajaan yang mempunyai harga diri yang tinggi tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat ditekan dengan kenaikan harga barang yang tinggi.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Naib Ketua AMK Malaysia
Pengerusi Gerakan Aduan dan Demokrasi Rakyat-AMK