Anak Muda Tolak UMNO/BN: Mengapa?
Pilihanraya P.094, Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada 25 April yang mana penamaan calon adalah pada 17 April 2010. Isyarat yang jelas dilihat pada malam pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Rakyat bahawa gerombolan anak muda secara majornya bersama dengan PKR/PR. Itu tidak dibandingkan lagi dengan komposisi kaum yang ternyata terserlah menyebelahi Pakatan Rakyat.
Gugatan ikon yang bernama Anwar Ibrahim terhadap UMNO/BN begitu menghantui gandingan Najib-Muhyiddin sehingga mereka terpaksa membuat mesyuarat tergempar bagi mengstruktur semula pendekatan bagi berdepan PRK di P.094.
Mengapa anak muda menolak UMNO/BN?. Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah duduk di tengah selaku mahasiswa dan di lembaga sinergi masyarakat (NGO) jelas dapat melihat dan menilai ketidakupayaan UMNO/BN untuk menterjemahkan idealisme anak muda kepada realiti semasa. Untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih baik tidak pada UMNO/BN lagi. Yang hanya ada dalam UMNO/BN adalah soal penerusan sistem feudal yang bercampur baur dengan masalah rasuah, nepotisme dan kronisme keterlaluan.
Lantas itu menyebabkan generasi muda melihat bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Perubahan dibentuk bagi menguruskan khazanah negara dengan lebih baik. Ini ada wajah harapan lebih baik yang boleh disandarkan kepada Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS & DAP.
Malaysia negara kaya dengan sumbernya. Ini boleh dibuat analogi bahawa jika hari ini rakyat sepatutnya mendapat segelas air dan sepinggan nasi percuma tetapi disebabkan kegagalan Kerajaan UMNO/BN menguruskan khazanah negara dengan baik maka hak rakyat ini tidak dapat diperolehi walaupun hanya untuk satu per empat/suku daripada air gelas dan juga sepinggan nasi itu tadi secara percuma
PENDIDIKAN
Jika hari ini sewajarnya seluruh anak muda di menara gading memperolehi biasiswa percuma namun masa kini sudah berubah. Anak muda seawal bergraduasi daripada kampus dibebankan dengan hutang hampir RM 25 ribu ringgit!. Jika ada yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat Master, ditambah lagi hutang RM 15 ribu! Belum sampai ke level Doktor Falsafah/PHD sudah berhutang sehingga RM 40 ribu ringgit pada umur lingkungan 22-25 tahun!. Ini adalah kegagalan besar kerajaan UMNO/BN dalam isu pendidikan. Itu ditambah lagi dengan isu Pengajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Isu PPSMI ini juga ada sangkutan dengan soal permainan rasuah ekonomi dan manipulasi dasar kerajaan untuk melakukan rasuah. Ini harus disiasat. Ini belum dibincangkan lagi dengan isu AUKU yang mengongkong mahasiswa. Mahasiswa wajar dibenarkan berpolitik. Rata-rata mereka sudah berumur 21 tahun dan perlu diberikan kebebasan berpolitik seperti mana termaktub dalam Perlembagaan. Kenyataan menyatakan mahasiswa akan rosak atau hilang fokus kerana terlibat dengan politik luar adalah tidak relevan.
Jika ini kenyataannya maka pendapat-pendapat seumpama itu hanyalah jelas meremehkan minda besar mahasiswa. Mahasiswa harus bangkit menyatakan hak mereka. Dan ini sedang dilakukan. Tahniah. AUKU ini perlu membenarkan mahasiswa berpolitik kerana jika halangan dibuat terhadap mahasiswa maka mahasiswa itu lebih rendah taraf dan kebebasannya daripada penagih dadah yang tidak memasuki kampus tetapi bebas berpolitik diluar jika mereka mahu. Ini analoginya.
KESELAMATAN & INTEGRITI
Isu-isu keselamatan juga sehingga kini tidak dijawab kerajaan UMNO/BN. Rakyat sudah maklum dengan isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E. Bukan satu enjin yang hilang tetapi dua. Jika persoalan pokok tentang keselamatan negara gagal dilindungi oleh kepimpinan UMNO/BN. Maka apakah lagi harapan rakyat terhadap pemimpin yang seumpama ini. Isu kapal selam bernilai RM 1.3 bilion tidak boleh menyelam. Bom C4 boleh terlepas untuk mengebom Altantuya. Kes Pembunuhan Altantuya yang misteri. Kita persoalkan satu sahaja dalam isu Altantuya ini. Kita persoalkan apakah motif dua anggota polis yang dihukum mahkamah dengan hukuman gantung itu untuk membunuh Altantuya? Ini jelas tidak logik dan kesedaran ini sudahpun ada pada ratusan ribu anak muda.
Isu rasuah bilion ringgit UMNO/BN tidak disiasat secara agresif. Isu dakwaan rasuah PR dikejar tidak bertepi. Apa sudah jadi dengan siasatan rasuah Menteri Kewangan dahulu (Sekarang Menteri di JPM)? PKFZ? Banglo Khir Toyo? Rafidah Aziz? Ali Rustam? Khairy Jamaluddin dan SCOMI? Ini semua menjadi hujah kuat anak muda untuk menolak UMNO/BN. Rasuah berskala mega perlu dibanteras.
Begitu juga dengan isu mengambil APCO sebuah syarikat yang mempunyai hubung kait dengan Israel sebagai penasihat imej Malaysia yang sehingga kini gagal dijawab kerajaan UMNO/BN secara konklusif menyebabkan kebimbangan generasi muda terhadap daya negarawan kepimpinan negara. Ini seolah-olah menjual maruah dan keselamatan negara kepada negara luar. Jika hubungan itu merupakan hubungan perniagaan barangan tidak melibatkan maklumat dan imej negara mungkin kita boleh bersetuju. Itupun dengan syarat syarikat itu tidak mempunyai hubungan dalam bentuk apa-apa jua dengan negara haram Israel. Isu Asiasoft dan PDRM juga belum dihujahkan kerajaan UMNO/BN dengan jelas sehingga menimbulkan keraguan yang membimbangkan rakyat dan anak muda. Soal keselamatan dan kedaulatan negara seolah-olah sudah tidak ada lagi pengharapan kepada kerajaan UMNO/BN jika kita meneliti satu persatu isu-isu selingkar keselamatan dalam negara. Dengan timbulnya isu ini, maka jelas kepada anak muda bahawa kepimpinan UMNO/BN sudah hilang kebijakkan untuk menguruskan negara. Mereka sudah tenggelam dalam keenakkan kuasa, rasuah dan penyelewengan. Besar untung hanya untuk pemimpin UMNO/BN, baki kecil keuntungan ekonomi negara barulah diagih kepada rakyat. Itupun kadang-kala dicuri juga. Tidak ada pengertian berkebajikan yang transparent buat masa ini daripada kerajaan UMNO/BN.
Berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Di Selangor, rakyat dapat air percuma, diberikan wang bantuan apabila berlaku kematian. Di Pulau Pinang, peruntukan untuk Agama Islam dinaikkan daripada RM 12 juta zaman UMNO/BN kepada RM 24 juta ketika Pakatan Rakyat memerintah. Kedah, negeri terbaik pengurusan auditnya. Perbelanjaan berhemah. Ini diakui oleh Ketua Audit Negara. Hasil balak Kedah meningkat kepada RM 16.4 juta bagi 1000 hektar berbanding dizaman UMNO Kedah hanya RM 3 juta hasilnya bagi keluasan yang sama.
Kelantan, 20 tahun MB Kelantan tidak pernah walau sekalipun dipalitkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan. Sistem Ladang Rakyat dan Tabung Kifalah Kelantan juga menjadi contoh dinegeri-negeri lain. Di Perak begitu juga, tanah diberikan geran kepada semua penduduk baik Melayu, Cina dan India. Pentadbiran yang adil dan berkebajikan ini menjadi pilihan generasi muda dan generasi baru Malaysia.
K-Politic & ISU LIWAT
Anak muda memilih Pakatan Rakyat dan menolak UMNO/BN kerana mereka mempunyai minda untuk berfikir. Jika tadi kita sudah membincangkan beberapa persampelan dalam isu pendidikan dan keselamatan. Maka kita terus menyatakan pandangan anak muda dalam isu K-Politic (Politik Nilai & Politik Pengetahuan). Isu liwat yang dilakukan bagi menyerang peribadi Anwar Ibrahim adalah salah terutama sekali dengan penyertaan beria-ia beberapa pemimpin dan panglima UMNO dalam mempertahankan mangsa liwat. Penglibatan mereka jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam isu tuduhan liwat ini.
Generasi muda terdidik pada hari ini tidak boleh menerima hujah tuduhan liwat yang cuba dimainkan oleh beberapa pemimpin/ahli UMNO. Sebagai contoh, cabaran Ezam terhadap Anwar yang mengatakan bahawa jika Anwar mencabar baru beliau mahu membongkar apa yang dia tahu tentang liwat.
Saya ingin berpesan kepada Sdra. Ezam, kamu jangan hanya menunggu cabaran Anwar tentang isu liwat ini. Jika kamu benar mempunyai maklumat dan bukti, maka agama telahpun awal-awal lagi mencabar kamu untuk mendedahkan perkara yang ada dalam pengetahuan kamu tentang isu liwat. Jelaslah kepada kita mungkin kenyataan Ezam itu hanyalah berbentuk cabaran politik berkepentingan kerana beliau lebih teruja dengan cabaran Anwar berbanding cabaran agama dalam isu ini. Jika ikhlas pendedahan wajar dilakukan kerana agama bukan kerana cabaran Anwar.
Sebagai contoh, saya menyertai PKR adalah kerana soal prinsip dan melihat keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan kepimpinan yang lebih baik berbanding UMNO/BN yang telah diberi peluang 52 tahun memerintah Malaysia dan sehingga kini tidak nampak usaha-usaha reformasi parti mereka yang berjaya melainkan hanya tinggal slogan sahaja. Saya juga melihat Anwar Ibrahim sebagai tokoh perubahan itu bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Namun ingin dijelaskan bahawa saya tidakpun menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana dijemput oleh Anwar Ibrahim. Tetapi saya memilih untuk membuat keputusan itu adalah hasil daripada rasa tanggungjawab terhadap agama dan negara. Saya menilai prinsip perjuangan Pakatan Rakyat (PKR, PAS & DAP). Saya juga menimbang tara antara akhlak dan integriti pimpinan PR yang jauh lebih baik berbanding UMNO/BN. Kita wajar memilih pemimpin yang terbaik dan amanah dikalangan kita. Saya sendiri hairan apakah bentuk prinsip integriti dan moraliti yang ada pada UMNO/BN masa kini yang menyebabkan Ezam, rakan-rakan dan beberapa ex-MP Pakatan Rakyat terlompat-lompat kesana?.
Dalam isu liwat, Ezam melakukan pendekatan sebaliknya. Dia memilih untuk menunggu cabaran Anwar Ibrahim berbanding mendedahkan perkara itu atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat dan dilakukan demi agama. Sikap beliau ini boleh kita istilahkan sebagai oportunis politik. Ataupun sebenarnya Ezam tidakpun mempunyai apa-apa maklumat yang tepat mengenai isu liwat ini. Hanya mendengar percakapan dan pengakuan demi pengakuan yang tidak ada substancenya.
Hari ini kita berpolitik dengan fakta dan hujah. Hujah dilawan hujah. Persoalan dijawab dengan nilai fakta dan pengetahuan. Sudah pasti mana-mana parti yang mengamalkan pendekatan politik pengetahuan (Politik Pendidikan), insyallah rakyat akan bersama. Sesiapa yang mengamalkan politik fitnah, kumpulan itu akan ditolak rakyat buat masa kini dan hari mendatang.
Berdasarkan ini, soal pendidikan, keselamatan, kebajikan, politik murni dan pengetahuan. Sudah pasti anak muda memilih untuk kali ini dan seterusnya bersama-sama dengan Harapan Baru dan Kerajaan Perubahan/Pakatan Rakyat lantas menolak UMNO/BN. Insyallah.
No comments:
Post a Comment