Monday, November 15, 2010

AGENDA ANAK MUDA MALAYSIA: SUATU PERKONGSIAN MASA DEPAN

1. Setelah menyatakan pendirian untuk bertanding bagi jawatan NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Malaysia, ramai teman-teman yang menghubungi dan memberikan respond yang positif terhadap keputusan ini. Saya amat menghargai pandangan, doa dan dukungan sdra/sdri.

2. Ada teman-teman yang bertanya soal halatuju dan gagasan idea yang bakal dibawa bersama AMK sekiranya terpilih untuk taklifan dan tanggungjawab ini. Menyedari hakikat bahawa gagasan idea dan perlaksanaan sebenarnya penting untuk diberikan penekanan oleh calon-calon Majlis Pimpinan AMK, maka ini perlu menjadi perkongsian umum dalam keluarga besar AMK khususnya sebagai tanda persediaan AMK menggalas harapan rakyat Malaysia.

3. Gagasan idea dan usaha mengimplimentasikan idealisme dalam kerangka gerakan AMK adalah usaha komplimentari yang perlu wujud antara calon-calon, baik yang akan menang ataupun tewas. Atas dasar itu, perkongsian pintar membawa suara sebenar anak muda adalah langkah bijak dalam mendepani gerakan anak muda yang berjaya menambat hati majoriti kepelbagaian segmen anak muda.

4. Segmen anak muda yang berbeza ini memerlukan pendekatan sentuhan yang sofistikated dan terkini namun bersifat anjal, mudah, ringkas dan fleksibal dalam perlaksanaannya. Kepelbagaian rencam anak muda Malaysia perlu diraikan dan diuruskan dengan cekap.

5. Untuk itu kita melihat adalah perlu demi masa depan generasi anak muda Malaysia, maka AMK perlu:

a. Membawa seluruh generasi muda secara holistik ke arah keterlibatan dalam proses pembentukan negara, kewibawaan kerajaan, ‘Good Governant’ yang berintegriti dan berkebajikan.
b. Membina generasi muda yang peka terhadap isu keadilan sosial, integriti kehakiman dengan juga melihat persampelan ‘Keadilan Untuk Anwar’ sebagai aspek inspirasi perjuangan kebenaran dan keadilan yang mempunyai sentuhannya yang tersendiri. Isu transparensi badan-badan penting dan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institusi Kehakiman perlu menjadi fokus bicara integriti dan anti rasuah generasi muda.
c. Isu-isu kemiskinan rakyat khususnya pengangguran anak muda perlu diberikan perhatian oleh gerakan AMK dan anak muda umumnya. Isu gaji minimum dan peluang pekerjaan anak muda perlu menjadi desakan AMK khususnya dinegeri-negeri Pakatan Rakyat untuk diterjemahkan dalam bentuk polisi-polisi kerajaan negeri. Isu ruang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sarjana muda/sarjana/phd dengan mendapat biasiswa perlu diketengahkan AMK untuk penambahbaikan oleh kerajaan pusat/negeri. Ini termasuk bebanan hutang tinggi oleh graduan akibat lambakan hutang PTPTN. Kekangan mahasiswa berpolitik melalui AUKU juga perlu ditegaskan pendirian AMK dengan cadangan Draf Undang-Undang yang lebih baik.
d. Aspek kualiti perkhidmatan kesihatan untuk anak muda perlu diberikan fokus khususnya di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
e. Suara Demokrasi anak muda dengan gagasan Parlimen Anak Muda Malaysia perlu diketengahkan secara berperingkat dan hikmah. Pandangan dan Agenda Anak Muda seluruh Malaysia termasuk Agenda Anak Muda Borneo perlu menjadi keprihatinan AMK untuk diteliti dan diambil tindakan. Proses Pilihanraya yang bersih dan memilih pimpinan kerajaan dan parti yang berwibawa adalah perlu menjadi antara agenda demokrasi AMK yang digerakkan secara sinergi.
f. Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu bertindak dalam nadi gerakan massa rakyat menerusi semangat bertindak sebagai ‘Majlis Hisbah’ atau ‘Ombudsman Council’ yang mampu menjadi institusi ‘check & balance’ khususnya dalam persoalan ‘real issue’ seperti aspek pembangunan pendidikan, sosio-budaya-politik dan ekonomi.
g. Angkatan Muda Keadilan perlu menjadi ‘trend-setter’ dalam penentuan sikap anak muda Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, sosio-budaya, ekonomi dan politik.
h. AMK perlu dilihat muda remaja, sporty, fleksibal, profesional, progresif dan pragmatik dalam menjadi kiblat imej anak muda Malaysia. Latihan Anggota/Kepimpinan dan Pembinaan Kepakaran/Tenaga Pakar AMK perlu dirangka dengan kemas dalam keadaan mengambilkira nilai pemikiran, kebolehan, komitmen, keberanian dan emosi anggota AMK Malaysia khususnya dan umumnya anak muda Malaysia.
i. AMK perlu mengukuhkan rangkaian antarabangsa khususnya rangkaian anak muda serantau di peringkat Nusantara.

Secara tuntasnya, ini adalah bentuk perkongsian yang mahu saya bicarakan serta bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana Ketua AMK & pimpinan organisasi AMK yang bakal memenangi pemilihan 2010 pada kali ini.

Sekian, Salam Hormat & Salam Perjuangan buat semua.

Mohd Nazree Mohd Yunus,
Calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia 2010

No comments:

Post a Comment