Sunday, June 20, 2010

Pakatan Rakyat: Perubahan Perjuangan Politik kepada Perjuangan Rakyat

Kembalinya Pakatan Rakyat kepada perjuangan rakyat perlu untuk kita pastikan berlaku. Jika ini tidak berlaku maka pertempuran dalam medan Pilihanraya Umum Ke-13 nanti adalah langsung menjadi pertempuran politik total.
Pakatan Rakyat wajar menyorot kembali kemenangan memberangsangkan pada PRU 10 (1999) dan PRU 12 (2008) adalah disebabkan kita membawa perjuangan rakyat. Permainan politik total akan menjerumuskan Pakatan Rakyat dalam permainan politik regim UMNO/BN yang teruk sejak 52 tahun merdeka.
Jika mahu dibandingkan pendekatan politik 2-3 tahun PR (selepas 8 Mac) dengan 52 tahun politik UMNO/BN maka sudah tentu ada beberapa kelebihan UMNO/BN daripada aspek manipulasi jentera kerajaan dan kewangan secara salah.
Sebab itu perlu untuk dikembalikan perjuangan Pakatan Rakyat kepada 'mode' dan modus operandi perjuangan rakyat. Ini penting untuk dilaksanakan. Kita tidak mahu PR terlamun lena dalam birokrasi politik. Rebutan jawatan politik, rebutan kontrak dan manipulasi kewangan wajar dihindar daripada berlaku seburuk yang dilakukan UMNO/BN tatkala merompak wang rakyat.
Anak muda lebih berminat dengan Pakatan Rakyat yang berjuang dalam hal-hal rakyat. Anak muda tidak gemar dengan perjuangan politik total. Politik hanya landasan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat. Pemimpin hanya sekadar pengurus kepada harta negara untuk diagihkan kepada rakyat secara saksama.
Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat membincangkan lebih mendalam persoalan perjuangan rakyat ini. Kita bimbang, takut-takut Pakatan Rakyat terperangkap dalam perjuangan politik total semata berbanding perjuangan rakyat. Ini harus dibahaskan.

No comments:

Post a Comment