Saturday, August 20, 2011

SUMPAH JADI SENJATA POLITIK PEMUKA UMNO/BN MALUKAN AHLI UMNO/BN?


Kita bicara soal kebenaran, maka paksinya perlu berasaskan hujah kukuh. Ringkasnya bagi yang Muslim, agama Islam mengajar kita bahawa hukum hakam Islam diasaskan dengan hujah dan dalil. Politik sumpah-sumpah sudah semakin menjadi-jadi. Lebih parah ianya menjadi makanan pemuka UMNO/BN. Politik adalah sebahagian daripada agama. Maka ianya juga perlu berasaskan hujah dan dalil. Ini adalah orde baru politik yang mahu kita bentuk pada generasi anak muda mendatang. Politik baru adalah berasaskan hujah dan dalil. Bukan semata-mata politik sumpah-sumpah. Apakah sumpah seumpama ini mempermainkan agama?


Politik sumpah-sumpah sudah tidak ada tempat lagi dalam landskap politik Malaysia. Rakyat semakin sedar. Siapa yang tidak kenal dengan tokoh-tokoh sumpah. Nama-nama seperti Najib, Ezam, Umi, Saiful Zul Nordin dan Datuk Trio adalah tokoh-tokoh sumpah yang kita sendiripun tidak mengerti mengapa mereka ini memilih sumpah sebagai senjata politik. Jika begitu gamaknya maka Anwar Ibrahim juga boleh bersumpah untuk melepaskan diri daripada didakwa. Tetapi apakah makna semua ini? Apakah hukum tuhan boleh dilanggar sesuka hati. Apakah undang-undang negara boleh diketepi dengan hanya sumpah menyatakan bahawa tidak terlibat. Ini jelas menunjukkan kedangkalan tokoh-tokoh sumpah dalam mencermati perkara ini.


Apa kita mahu nanti semuanya bersumpah kemudian tidak ada yang mengaku selepas bersumpah, akhirnya orang akan mentertawakan sumpah dalam agama kita. Mahukah kita sumpah dalam agama ini dipermainkan. Saya masih ingat lagi sumpah keramat Pemuda Keadilan dibawah Ezam dahulu, sungguh lantang bersumpah selagi ada bulan dan matahari, maka keadilan dipertahankan dan kezaliman akan dibenamkan. Hari ini dimana makna sumpah ini? Bulan dan matahari masih ada, namun mereka yang lebih awal terbenam dalam kerosakan UMNO/BN. Terbenam bersama kezaliman. Bukannya membenam kezaliman. Keadilan bukan lagi dipertahankan bahkan keadilan telah mereka lawan dan cerca. Inilah makna sumpah politik mereka. Sumpah politik seumpama ini sudah tidak ada maknanya lagi dalam agama. Tidak ada nilai sumpah seumpama ini dalam mendaulatkan negara. Dahulu bicara keadilan, hari ini bicara menentang keadilan. Dahulu kezaliman ditentang, hari ini kezaliman didukung.


Kita boleh melihat dalam isu Kes Fitnah 1 dan Fitnah 2 terhadap Anwar Ibrahim, sumpah menjadi senjata pemuka UMNO/BN dalam membunuh karektor pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat. Hendak buktikan tohmahan video seks pun mahu bersumpah? Jadi dimana peranan institusi kehakiman jika sumpah sahaja dapat membenarkan apa-apa sahaja kenyataan? Seolah-olah hanya semata-mata dengan sumpah maka semua perkara boleh dibuktikan keabsahan dan kejituan kebenarannya. Apakah makna semua ini? Apakah tidak ada maknanya lagi Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil dalam negara kita? Rakyat sudah semakin sedar akan perkara ini. Sumpah politik adalah sumpah berkepentingan. Sumpah oleh pemuka UMNO/BN kononnya untuk tegakkan kebenaran tidak ubah sekadar hanya ikrar kosong tanpa fakta dan hujah.


Atas dasar itu, haruslah kita bersama membawa perubahan dalam mencorakkan politik tanah air dengan membawa rakyat khususnya anak-anak muda dengan politik fakta dan hujah. Sumpah sahaja tidak memadai dalam perjuangan kerana telah ada contoh yang mengkhianati sumpah keramat perjuangan yang harus kita ambil iktibar.


Lihatlah dibawah ini Sumpah Keramat Pemuda Keadilan ketika Ezam menjadi ketuanya. Apa sudah jadi dengan sumpah ini. Sebab itu hari ini perjuangan anak muda bukan dengan sumpah tetapi dengan fakta, hujah dan dalil kebenaran. Kerana itu yang diajar agama. Bersama anak muda kita berjuang demi keadilan dan kebenaran berasaskan nilai yang benar bukan sekadar omongan sumpah berbakul-bakul. Bimbang nanti, anak muda universiti juga akan bersumpah dengan para pensyarah bahawa mereka menjawab betul dalam peperiksaan bagi mendapatkan simpati markah walaupun jawaban sudah tersasar daripada soalan. Akhlak dan moralnya, harus anak muda sedar, sumpah semata tidak banyak menyelesaikan masalah. Jangan lupa, Pak-pak Menteri juga bersumpah untuk menjaga amanah dan kerahsiaan negara ketika mengangkat sumpah menjadi Menteri, namun yang rasuah juga ada dikalangan mereka. Kalau bersumpah seumpama pada ‘level’ itupun sudah dikhianati, jadi apa lagi pada sumpah-sumpah yang lain.


Nazree Yunus, Ketua AMK N. Sembilan



SUMPAH KERAMAT PEMUDA KEADILAN!


Sumpah Keramat Pemuda keADILan beriltizam untuk berdiri teguh berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan dengan ikrar :-

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Menyedari, Negara Terus Dilanda Kezaliman
Menginsafi, Umat Perlukan Perubahan
Mengakui, Keadilan Mesti Ditegakkan
Maka - atas nama kemuliaan dan perjuangan
Atas nama kesucian agama
Atas nama kedaulatan negara
Atas nama kehormatan Rakyat Jelata
Kami bersumpah - Selagi ada bulan dan matahari
Selagi hayat dikandung badan
Keadilan tetap kami pertahankan
Kebenaran tetap kami tegakkan
Kezaliman tetap kami benamkan
Pembohongan dan Sandiwara tetap kami hancurkan
Jiwa dan nyawa kami taruhkan
Inilah sumpah kami
Sumpah Keramat, Pemuda keADILan
Reformasi! Reformasi! Reformasi!

No comments:

Post a Comment