Wednesday, November 9, 2011

LAPORAN KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN KERAJAAN N. SEMBILAN DI BAWAH UMNO/BN

MEMORANDUM INTEGRITI ANGKATAN MUDA KEADILAN N. SEMBILAN

GESA SPRM SIASAT PENGURUSAN KEWANGAN KERAJAAN N. SEMBILAN

4 NOVEMBER 2011

Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan (AMK N9) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2010. Berdasarkan dua dokumen Laporan Ketua Audit Negara setebal 127 dan 98 muka surat jelas menunjukkan kelemahan pengurusan kewangan kerajaan negeri yang wajar disiasat sama ada wujudnya unsur-unsur rasuah yang menyebabkan beberapa projek di bawah agensi kerajaan negeri kandas, tidak sempurna serta menemui kegagalan.

Kita meneliti serius Laporan Audit Negara ini termasuk data yang menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di seluruh Negeri Sembilan meningkat sejumlah 178.8% dalam tempoh 3 tahun (2008-2010). Kita bimbang ini berlaku kerana ketirisan dan rasuah yang berlaku serta hilangnya fungsi agensi kerajaan berjalan dengan baik akibat campur tangan politik dalam pentadbiran awam. Ini jelas dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan daripada 10 Program Pembasmian Kemiskinan (Program Khas) di N. Sembilan, 7 daripadanya mengalami prestasi yang tidak memuaskan. Perkara ini cukup membimbangkan rakyat marhaen di Negeri Sembilan.

Siasatan SPRM juga harus menjurus ke arah siasatan kelemahan penyelenggaraan bangunan Kerajaan di N. Sembilan (Rujuk m/s 3 – 22 Laporan Ketua Audit Negara bagi N. Sembilan). Selain itu penjelasan daripada Kerajaan Negeri harus diambil oleh SPRM berkenaan isu kecurian pasir secara haram. Pihak berkuasa wajar mendedahkan tangkapan atau pendakwaan yang telah dibuat atas isu kecurian pasir di Sungai Jijan, N. Sembilan.

Selain itu siasatan SPRM terhadap projek Tebatan Banjir Sungai Linggi yang berjumlah RM 8.5 juta harus dilakukan kerana bagaimana projek bernilai tinggi seumpama ini gagal untuk mengawal kemusnahan ekosistem di sepanjang Sungai Linggi akibat daripada penggunaan kaedah sedutan atau ‘dredging pump’ oleh kontraktor.

Justeru, AMK N. Sembilan menggesa agar suatu siasatan menyeluruh dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap urustadbir Kerajaan Negeri Sembilan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara yang jelas menunjukkan bukti-bukti kelemahan serta keraguan yang membolehkan suatu tindakan penyiasatan dimulakan oleh SPRM.

Mohd Nazree bin Mohd Yunus

Ketua AMK N. Sembilan - Naib Ketua AMK Pusat

No comments:

Post a Comment